Tidak timbul isu pemilik asal hartanah akan diusir secara paksaan - PM Anwar

Faida Rahim
Februari 25, 2025 11:40 MYT
Perdana Menteri Anwar menegaskan, pemilik asal hartanah tidak akan diusir secara paksa dan status tanah kekal terpelihara.
Kuala Lumpur: Tidak timbul sama sekali pemilik asal hartanah tanpa mengira kaum akan diusir daripada pemilikan tanah atau premis secara paksaan, tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Malah menurut Perdana Menteri, status tanah yang asal kekal sama ada rizab Melayu atau status kekal tidak akan berubah.
"Kerajaan akan memastikan setiap pemilik asal hartanah memahami hak serta perlindungan yang diberikan. Dalam mana-mana negara yang pesat membangun dan muncul bandar bandar yang giat berkembang, tentu juga kita hadapi bangunan yang tidak selamat, bangunan kawasan sesak dan miskin dan harus dibangunkan dan projek terbengkalai.
"Sebab itu sejak 2012, garis panduan dikemukakan, pada 2013 diusulkan dan seterusnya 2015 dimulakan. Jadi soal gopoh itu saya tidak faham kenapa dibangkitkan sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan isu berkait cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.
Tambah beliau, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa menerajui program pembaharuan tersebut terutama rumah pangsa yang berusia lebih 40 tahun pada 2020.
Seterusnya, pada 2021, bekas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin pula memulakan penggubalan RUU pembaharuan semula bandar (PSB) sebelum pada 22 Mac 2022, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican yang menerajui kementerian sama meneruskan prinsip berkenaan.
#Anwar Ibrahim #Dewan Rakyat #hartanah #pemilikan tanah
;