Tidak timbul isu pelajar menunggang motosikal tanpa lesen

Bernama
April 16, 2017 07:00 MYT
Sekolah berkenaan menjadi perhatian apabila pelajar sekolah itu ditawarkan motosikal jika mencatatkan kehadiran 100 peratus sebagai galakan kepada mereka supaya rajin ke sekolah. - Gambar hiasan
Tidak timbul isu pelajar menunggang motosikal tanpa lesen selepas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Senggarang, Batu Pahat memberikan hadiah motosikal kepada pelajar sekiranya mencatatkan kehadiran 100 peratus.
Pengarah Akademi Darul Takzim Datuk A Halim Mohamed yang juga penaja motosikal itu berkata pelajar yang menerima motosikal berkenaan sudah pun memiliki lesen.
"SMK Senggarang merupakan sekolah angkat dan saya menitik berat soal peraturan dan undang-undang, jadi kita dedahkan mereka dengan program yang berkaitan lalu lintas.
"Jadi pelajar ini tahu tanggungjawab mereka untuk tidak menunggang tanpa lesen malah pihak sekolah juga memantau. Pelajar yang dapat (hadiah) juga baru-baru ini sudah memiliki lesen," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Ahad.
A Halim berkata hadiah itu merupakan inisiatifnya dengan mengambil kira pelbagai aspek khususnya keperluan pelajar termasuk memudahkan pergerakan mereka untuk ke sekolah.
"Saya sediakan hadiah motosikal agar pelajar tertarik berbanding hadiah seperti hamper selain melihat keperluan mereka khususnya yang tinggal jauh, jadi mereka boleh datang awal.
"Selain itu, kalau ada pelajar yang sudah cukup umur, boleh datang ke Akademi saya untuk mengambil lesen dan saya berikan diskaun dengan harga RM380 sahaja," katanya lagi.
Sementara itu, Pengetua sekolah itu, A S Aziz Salem berkata penggunaan hadiah motosikal itu bergantung kepada ibu bapa.
"Ibu bapa yang membuat keputusan sama ada membenarkan pelajar untuk gunakan motosikal itu atau pun untuk kegunaan keluarga. Selain itu, kita juga bekerjasama dengan polis untuk memantau dan memberi kesedaran berkaitan perundangan.
Sekolah berkenaan menjadi perhatian apabila pelajar sekolah itu ditawarkan motosikal jika mencatatkan kehadiran 100 peratus sebagai galakan kepada mereka supaya rajin ke sekolah sekali gus mengurangkan budaya ponteng.
Usaha itu ternyata mendapat sambutan mengalakkan apabila peratus kehadiran pelajar semakin meningkat setiap bulan sejak Januari. - BERNAMA
#motosikal #pelajar #polis #undang-undang
;