Tidak tahan tekanan antara sebab doktor pelatih berhenti kerja

Rahimah Abdullah
Februari 14, 2017 17:28 MYT
120 orang daripada kira-kira 10,000 doktor pelatih di negara ini dilaporkan berhenti secara sukarela atau diberhentikan tahun lalu. - Gambar hiasan
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya mendedahkan 120 orang atau 1.2 peratus daripada kira-kira 10,000 doktor pelatih di negara ini dilaporkan berhenti secara sukarela atau diberhentikan daripada perkhidmatan awam itu tahun lalu.
Jelasnya, latihan perubatan yang sukar menjadi antara punca utama kebanyakan mereka berhenti dari meneruskan latihan pegawai perubatan siswazah berkenaan.
"Antara sebabnya ialah berhenti sendiri mungkin kerana tidak tahan latihan, kami tahu memang sangat susah. Kita nak pastikan kita cukup efisyen dalam latihan ini sebab itu mereka berhenti.
"Namun ada juga antara mereka yang berhenti dan ke luar negara. Ada juga yang tidak datang dalam tempoh sebulan ke tiga bulan. Jadi tindakan kena pecat sebab melebih had," katanya dalam sidang media selepas merasmikan sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Kebangsaan 2017 di Hospital Orang Asli Gombak di sini hari ini.
Sementara itu katanya, 20 peratus daripada 10,000 pegawai perubatan siswazah berkenaan telah mengambil ulangan latihan.
"Ada juga kekangannya iaitu ada yang mengambil ulangan , mungkin daripada empat bulan kepada enam atau lapan bulan. Maksudnya, yang berjaya (menamatkan latihan pada tempoh masa tepat) adalah 80 peratus, manakala yang tidak begitu efisyen kena ulang balik ialah 20 peratus," tambahnya.
Jelasnya, susulan pertambahan doktor pelatih ketika ini, menyebabkan ada kalangan pakar perubatan yang tidak menyedari 'kehilangan' doktor pelatih mereka.
"Kami dulu, masa itu tidak banyak houseman, sekarang ini banyak houseman, jadi kadang-kala pakar tidak tahu bahawa pelatih mereka hilang. Malah ada juga yang (mendapat) rawatan psikiatri , itu sebab hilang," jelasnya.
Katanya lagi, pelbagai prosedur perlu dilakukan sebelum menghentikan latihan mana-mana pelatih perubatan.
BACA: KSN kesal dengan isu ketidakhadiran pegawai perubatan ke tempat kerja
Pada Isnin, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa kesal dengan aduan terdapat pengamal perubatan di hospital kerajaan yang terpaksa dibuang kerja berikutan ketidakhadiran ke tempat kerja untuk tempoh masa yang begitu lama.
Beliau berkata mengikut laporan yang diterima dari Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan, ada beberapa pegawai baharu yang menjalani latihan gagal hadir ke tempat kerja untuk tempoh masa lama sehingga mencecah ratusan hari dipercayai kerana tidak dapat menerima tekanan di tempat kerja.
#Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya #Jawatankuasa Tatatertib Kementerian Kesihatan #JPA #Tan Sri Dr Ali Hamsa
;