Tidak tahan masalah rumah tangga, lelaki cuba langgar isteri di tempat parkir

Adie Sufian Zulkefli
Mei 20, 2020 08:38 MYT
Menurut polis, suspek dikatakan naik angin apabila bergaduh dengan isterinya di kawasan parkir sebuah pasar raya.
Akibat tertekan, seorang suami tergamak ingin melanggar isterinya di kawasan tempat letak kereta di sebuah pasar raya dekat Tandop, di sini.
Dalam kejadian jam 12.04 tengah malam tadi, suspek bertindak nekad untuk melanggar isterinya sehingga mati.
Bagaimanapun, cubaannya gagal apabila mangsa berjaya diselamatkan anak mereka yang ketika itu berada di tempat kejadian.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, ACP Mohd Rozi Jidin, suspek berusia 45 tahun itu dikatakan naik angin apabila bergaduh dengan isterinya, yang berusia 52 tahun, di kawasan parkir.
Katanya, hasil siasatan mendapati, pergaduhan terjadi berpunca daripada masalah keluarga.
Menurutnya, suspek yang memandu kereta Perodua Myvi dipercayai cuba melanggar mangsa dari arah depan namun tidak berjaya.
"Isterinya diselamatkan oleh anak yang berada di tempat kejadian. Sekiranya tidak diselamatkan pada ketika itu, mungkin kita ada kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
"Bagaimanapun, siasatan masih dijalankan untuk melihat sudut-sudut yang sesuai untuk diambil tindakan terhadap suami," kata Mohd Rozi sambil menambah, suspek ditahan sejurus selepas mangsa membuat laporan polis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh.
#Alor Setar #bunuh #gaduh #isteri #langgar #masalah keluarga #masalah rumah tangga #mati #Mohd Rozi Jidin #parkir #pasar raya #siasatan #suami langgar isteri #suspek #tempat letak kereta
;