Tidak tahan gian, syabu dan heroin jadi 'menu' buka puasa

Astro Awani
Jun 15, 2016 18:50 MYT
Ssupek kini dalam proses penceraian, mengakui menghisap dadah dengan memperoleh bekalan dari seorang tokan di kawasan tepi jalan berhampiran semak. - Foto Astro AWANI
Tidak tahan gian, syabu dan heroin dijadikan 'menu' berbuka puasa.
Itu adalah pengakuan seorang penagih dadah sebaik sebuah rumah di Tualang, Pokok Sena, diserbu Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) awal pagi tadi.
Ketika serbuan dilakukan, lelaki berusia 36 tahun itu, sedang leka menyiram pokok bunga sebelum cuba meloloskan diri sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa.
Suspek yang juga suami kepada seorang guru kelas agama dan fardu ain (KAFA) yang kini dalam proses penceraian, mengakui menghisap dadah dengan memperoleh bekalan dari seorang 'tokan' di kawasan tepi jalan berhampiran semak.
Katanya, dia menyimpan RM10 sehari hasil upah menoreh getah RM30 untuk membeli bekalan dadahnya.
"Saya pergi ambil (melalui) kiriman orang tepi jalan, lepas itu saya balik hisap seorang-seorang di tepi bendang." katanya.
Suspek ditahan dalam satu serbuan sepasukan 20 pegawai dan anggota (AADK) di daerah Kota Setar dan Pokok Sena pada awal pagi Rabu.
Ketua Pegawai AADK daerah Kota Setar dan Pokok Sena, Suria Azlina Shaarin berkata serbuan dilakukan hasil intipan dan risikan pihaknya selama seminggu yang mendapati suspek merupakan salah seorang penagih tegar di kawasan itu.
Berdasarkan hasil soal siasatan, suspek memperoleh bekalan dadah dari sekitar kawasan Pokok Sena.
Suspek yang memberi pelbagai alasan bagi elak ditahan, akhirnya terpaksa akur kerana tetap ditahan dan dibawa ke ibu pejabat AADK di Wisma Persekutuan Alor Setar untuk proses lanjutan.
Hasil saringan ujian air kencing ke atas suspek didapati positif.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 kurungan 3 Akta Penagih dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Sementara itu, empat remaja berusia 17 hingga 26 tahun ditangkap dalam serbuan di satu lagi lokasi di Kampung berkenaan dan memberikan alasan baru pulang Terawih.
Satu beg kecil berisi peralatan menghisap syabu ditemui selepas satu serbuan pegawai dan anggota Agensi AADK pada kira-kira jam 2 pagi, Rabu.
Suria Azlina berkata keempat-empat suspek dibawa balik ke ibu pejabat untuk tindakan lanjutan.
Katanya, hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua suspek positif dadah.
#AADK #buka puasa #Dadah #penagih dadah #tokan
;