Tidak seperti sesetengah negeri, Sabah berjaya urus banjir - PM

Eleanor Michelle Patrick
Januari 8, 2022 17:01 MYT
Ismail Sabri Yaakob (kanan) berbincang dengan Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor sempena lawatan pasca banjir daerah Kota Marudu di Dewan Komuniti Kota Marudu hari ini. - Foto Bernama
KOTA MARUDU: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini memuji usaha dan kemampuan kerajaan Sabah dalam menangani bencana banjir dan pasca banjir.
Perdana Menteri berkata, tiada sebarang isu timbul seperti yang berlaku di satu atau dua negeri akibat daripada kelemahan di peringkat pengurusan bencana.
"Ini menunjukkan kemampuan kerajaan negeri, pejabat daerah yang menjadi petugas barisan hadapan. Bukan sahaja di peringkat daerah tetapi di peringkat negeri yang diuruskan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Safar Untong dan sudah pasti kerajaan negeri dipimpin Datuk Seri Hajiji Noor.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua. Kita boleh lihat tiada isu timbul seperti di beberapa negeri akibat daripada kelemahan pengurusan bencana banjir," katanya pada sidang media di Dewan Komuniti Kota Marudu pada Sabtu.
Terdahulu, Ismail Sabri yang diiringi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan Bantuan Wang Ihsan dan bakul makanan kepada 206 keluarga mangsa banjir Kota Marudu, Sabah.
Selain itu, beliau menjelaskan kerajaan sudah mengagihkan 90 peratus Bantuan Wang Ihsan (BWI) di seluruh negara dan disifatkan yang terpantas setakat ini.
Malah, Perdana Menteri memberi jaminan agihan BWI akan dilakukan dengan segera.
"Setakat ini 90 peratus BWI sudah diagihkan. Saya sudah mengarahkan bantuan itu diagihkan sebelum mereka balik.
"Saya tidak mahu membandingkan tetapi ini merupakan (bantuan) terpantas di dalam sejarah negara dari segi pembahagian BWI," katanya.
#banjir #Perdana Menteri #Kejayaan Sabah #pasca banjir
;