Tidak semua warga Malaysia yang diselamatkan di Kemboja mangsa sindiket
Irfan Faruqi
Januari 27, 2023 20:38 MYT
Januari 27, 2023 20:38 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak semua mangsa yang diselamatkan merupakan mangsa pemerdagangan manusia, sebaliknya maklumat itu direka sendiri oleh mereka.
Demikian menurut Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hasan dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Jelas beliau, pihaknya telah menghubungi pihak berkuasa Kemboja mengenai laporan pemerdagangan manusia itu, tetapi apabila diselamatkan, hakikatnya berbeza.
"Mengikut pihak Kemboja, individu yang mendakwa sebagai mangsa sebenarnya berhutang ekoran berjudi. Apabila hutang tidak dapat dibayar, mereka dakwa mereka mangsa tipu kerja untuk menyelamatkan diri daripada bayar hutang.
"(Ada juga) Mereka yang bekerja dengan syarikat scammer tetapi tidak mencapai KPI (sasaran). Selain itu, ada mangsa yang di menginap di hotel.
"Bila tidak mampu bayar, mereka telefon polis dan laporkan mereka mangsa tipu kerja atau pemerdangan manusia," katanya dalam sidang media bersama lima mangsa sindiket penipuan tawaran kerja di Kemboja yang diselamatkan, di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, di sini, hari ini.
Abd Jalil juga maklumkan, terdapat mangsa yang diselamatkan dan dihantar pulang ke Malaysia, namun telah pergi semula ke Kemboja untuk kembali bergiat dengan syarikat-syarikat sindiket scammer.
Selain itu, beliau berkata, hasil perbincangan dengan pihak berkuasa Kemboja turut mendapati ada sesetengah dakwaan pihak badan bukan kerajaan (NGO) mengenai keadaan mangsa, adalah tidak berasas.
Tambahnya, hantaran video tular yang menunjukkan mangsa dipukul, didera, dan dirotan tidak berlaku ke atas rakyat Malaysia.
"Video tersebut sengaja dihantar untuk menakutkan waris-waris. Agar waris keluarkan apa sahaja jumlah untuk menyelamatkan mangsa yang dikatakan berada dalam tangan sindiket," katanya.
Pihaknya juga menyeru agar waris mangsa yang mempunyai anak atau adik-beradik yang hilang supaya menyalurkan maklumat kepada Kementerian Luar atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Dalam masa yang sama, Abd Jalil turut menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan tawaran NGO untuk membantu menyelamatkan mangsa dengan bayaran tertentu.
"Ini tanggungjawab kita, kita akan usaha selamatkan dengan sesegera yang mungkin. Tetapi maklumat tersebut mestilah sahih.
"Kalau boleh, maklumat tersebut mesti ada lokasi yang tepat agar proses menyelamat dapat disegerakan," katanya lagi.