Tidak semua doktor ada latihan diagnosis penagih
Astro Awani
Julai 7, 2024 12:47 MYT
Julai 7, 2024 12:47 MYT
KUALA LUMPUR: Tidak semua pegawai perubatan berdaftar mempunyai latihan dan kepakaran dalam mendiagnosis masalah penagihan atau penyalah guna dadah dan bahan.
Ringkasan AI
- Tidak semua pegawai perubatan berdaftar mempunyai latihan dalam penagihan dadah: Hanya doktor psikiatri yang benar-benar mempunyai kepakaran dalam bidang ini, dan tugas diagnosis masalah penagihan bukanlah tanggungjawab utama pegawai perubatan.
- Pindaan RUU Akta Penagih Dadah tidak mengetepikan peranan KKM: Kuasa untuk merawat penagihan dadah berada di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), dan pegawai pemulihan yang terlatih dengan baik memainkan peranan penting dalam institusi ini.
- Rawatan dan pemulihan dadah melibatkan aspek sosial, komuniti, dan spiritual: Selain aspek perubatan, elemen-elemen ini hanya terdapat pada AADK, bukan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Negeri Kedah, Dr Zaki Zamani Abd Rashid berkata, sebaliknya, hanya pegawai perubatan dalam bidang psikiatri sahaja yang benar-benar mempunyai latihan dalam bidang penagihan perubatan.
Jelas beliau, tugas-tugas diagnosis masalah penagihan dadah bukanlah tanggungjawab hakiki yang perlu dilakukan pegawai perubatan, namun ia sekadar sampingan semata-mata.
“Tidak semua doktor yang berdaftar ada latihan yang jelas dalam bidang penagihan perubatan, tetapi hanya doktor psikiatri sahaja yang ada kepakaran.
“Berdasarkan pengalaman saya sebagai pegawai perubatan, dari segi tugas hakiki itu, tidak semua pegawai perubatan ada latihan untuk merawat kes-kes penagihan dadah. Mungkin yang melalui psikiatri khas untuk ketagihan (memang) ada, tapi untuk yang betul-betul, tidak semua doktor boleh merawat penagihan.
“Hanya yang ada latihan dan asas (sahaja) yang boleh merawat penagihan. (Pegawai perubatan) yang lain perlukan latihan, tetapi saya tidak nampak kesungguhan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk berada di depan dalam merawat kes-kes penagihan,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.
Beliau diminta mengulas berhubung pindaan rang undang-undang (RUU) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 yang dibahas di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Dalam pada itu, Dr Zaki Zamani berkata pindaan RUU itu tidak sedikitpun mengetepikan peranan KKM dalam isu penagihan dan penyalah guna dadah atau bahan.
“Bagi saya tiada isu sebab kuasa untuk merawat itu memang pada AADK dan akta ini akta AADK. AADK yang urus semua sebab dari segi rawatan dan pemulihan di institusi di Malaysia, kita memang di bawah AADK.
“Jadi kuasa untuk merawat di institusi itu berada di bawah AADK. Agak memudahkan kalau pegawai pemulihan ini yang pada saya sudah 'well trained' dan kebanyakannya sudah kenal klien-klien ini,” jelasnya.
Sementara itu, beliau mengakui pegawai perubatan dalam bidang psikiatri adalah kumpulan pakar dalam isu perubatan penagihan, namun rawatan dan pemulihan dadah bukan sahaja tertumpu kepada bidang perubatan semata-mata.
“Rawatan dan pemulihan dadah ini meliputi banyak aspek seperti sosial, komuniti terapeutik dan spritual.
“Elemen-elemen ini hanya ada pada AADK. Tidak pada KKM dan hanya medical sahaja yang ada di KKM,” ujarnya.