Tidak sedar air pasang, dua maut ketika asyik mencari kerang

Bernama
Oktober 8, 2017 13:25 MYT
Kesemua mereka tidak sedar air pasang dengan cepat sehingga ke paras pinggang dan ketika mereka cuba menyelamatkan diri. - Gambar fail
Dua orang termasuk seorang wanita warga asing maut akibat lemas semasa mencari kerang bersama lima lagi rakan mereka di kawasan bakau berdekatan Borneo Resort Farm dekat sini, petang semalam.
Mereka dikenali sebagai Haslinda Abidin dan Rolly Enning. Kedua-duanya berumur 25 tahun.
Ketua Polis Daerah Kunak, Supt Mohd Nasaruddin M Nasir berkata semasa kejadian kedua-dua mangsa bersama lima pekerja kilang sawit warga asing berumur antara 22 sehingga 37 tahun itu pergi ke kawasan bakau pada kira-kira 5.30 petang untuk mencari kerang apabila air laut tiba-tiba pasang.
"Kesemua mereka tidak sedar air pasang dengan cepat sehingga ke paras pinggang dan ketika mereka cuba menyelamatkan diri, arus air semakin kuat dan menghanyutkan dua daripada mereka," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Nasaruddin berkata Anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ketika itu membuat kawalan keselamatan mendengar jeritan mangsa meminta tolong sebelum bergegas menyelamatkan mangsa.
"Ketika itu, lima mangsa lelaki diselamatkan, seorang wanita 25 tahun meninggal dunia akibat lemas manakala seorang lelaki hilang," katanya.
Mereka yang terselamat dikenali sebagai Asdar Dahari, 22; Amran Haddise, 37; Rudy Hartono Bade, 25; Haryadi Amir,36; serta Frende Martin, 27.
Menurut Nasaruddin mangsa yang hilang ditemui mati lemas kira-kira 10.20 malam tadi oleh pasukan mencari dalam kalangan keluarganya sebelum dibawa ke hospital," katanya.
-- BERNAMA
#air pasang #cari kerang #kunak #maut
;