Tidak, saya tidak 'lobi' Tun Mahathir - Anwar

Rahimah Abdullah
Januari 8, 2020 15:43 MYT
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim nafi melobi Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan jawatan dalam kabinet semasa pertemuan dengan Perdana Menteri pada Selasa. Foto: Unit Komunikasi PKR
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan beliau melobi Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk mendapatkan jawatan dalam Kabinet semasa pertemuan dengan beliau pada Selasa.
Jelasnya, pertemuan berkenaan tidak menyentuh mengenai kedudukan mana-mana pihak dalam Kabinet.
"Perbincangan itu hati ke hati antara dua orang tetapi saya tidak bincang soal Kabinet dan saya tidak lobi.
"(Sebab) kalau orang kata saya jumpa (Tun Dr Mahathir) petang semalam, saya tidak hendak orang fikir saya pergi lobi, tidak," katanya kepada media selepas menghadiri International Unity In Diversity Conference 2020 di Sime Darby Convention Centre, Bukit Kiara di sini pada Rabu.
BACA: Anwar bersua muka dengan Tun Mahathir lagi
Pada Selasa, Anwar memuatnaik gambar pertemuan bersama Perdana Menteri di Putrajaya di laman Twitternya dan sekali gus mengundang teka-teki pelbagai pihak terutama mengenai isu kekosongan jawatan Menteri Pendidikan yang ditinggalkan Dr Maszlee Malik.
Dr Maszlee Malik mengumumkan perletakan jawatan berkuatkuasa 3 Januari lalu dan berbuat demikian selepas mendapat nasihat daripada Perdana Menteri.
#Anwar Ibrahim #Mahathir Mohamad #Maszlee Malik #PKR
;