Tidak sangka rumah sendiri terbakar, 13 beranak sehelai sepinggang
Sinar Harian
Mac 20, 2022 16:45 MYT
Mac 20, 2022 16:45 MYT
SEREMBAN: Seorang wanita tidak menyangka kebakaran yang dimaklumkan oleh orang awam ketika dia melalui kesesakan jalan raya pada Ahad, melibatkan rumahnya sendiri terletak di Kampung Bukit Chedang.
Pann Kam Mooi, 67 berkata, dia ketika itu dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menghantar seorang cucunya ke tempat kerja di Bukit Kepayang,
"Ketika dalam perjalanan pulang, tidak jauh dari kawasan rumah saya, berlaku kesesakan jalan raya dan saya tanya kepada orang awam. Mereka beritahu ada rumah terbakar.
"Sebaik sahaja sampai di rumah, tidak sangka rumah saya yang terbakar " katanya ketika ditemui, pada Ahad.
Menurut Kam Mooi, akibat kejadian itu yang berlaku kira -kira jam 10.30 pagi, seramai tiga belas beranak yang mendiami kediaman tersebut tinggal sehelai sepinggang selain memusnahkan empat kenderaan termasuk sebuah motosikal.
Ujar Kam Mooi, ketika kejadian, empat cucu dan seorang menantunya sedang tidur di rumah manakala yang lain kebetulan sudah keluar.
"Saya bersyukur kerana ahli keluarga yang lain sempat keluar dari rumah menyelamatkan diri selepas cucu saya yang berusia 18 tahun terdengar bunyi letupan. Cucu saya beritahu, dia terjaga dari tidur kerana terasa bahang panas dan apabila membuka tingkap ternampak api dipercayai datangnya dari pendingin hawa.
"Dia kemudian mengejutkan ahli keluarga lain dan mereka bergegas keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri. Sedih, kerana tiada barangan sempat diselamatkan susulan api marak dengan cepat," kata Kam Mooi menceritakan kejadian itu.
Tambah wanita tersebut, jumlah kerugian dianggarkan lebih RM100,000 namun punca kebakaran masih belum diketahui.
Katanya, rumah itu telah didiami lebih 40 tahun lalu dan kini mereka menumpang di sebuah dewan berhampiran.
ARTIKEL ASAL DISIARKAN DI SINAR HARIAN