Tidak salah adakan PKP penuh, tetapi perlu ada perancangan holistik - Dr Farhan Rusli
Faris Danial Razi
Mei 21, 2021 22:19 MYT
Mei 21, 2021 22:19 MYT
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh atau ‘lockdown’ adalah satu langkah terakhir yang perlu diambil kerajaan kerana ia bukan penyelesaian yang mutlak dan ia tidak akan melandaikan kes COVID-19 secara menyeluruh.
Namun bagi Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr Farhan Rusli, seandainya ia terpaksa dilaksanakan berikutan situasi pandemik yang semakin membimbangkan, ia memerlukan perancangan yang holistik.
“Bukan saya katakan PKP penuh itu adalah salah, tetapi apabila kita ingin melaksanakan full PKP, atau 'total lockdown'.
“Kita perlu memberikan perincian dan perancangan yang holistik, bermakna sebelum kita membuat pengumuman bahawa kita akan membuat penutupan penuh, kita harus memberitahu kepada rakyat, kita akan 'lockdown' dalam masa satu minggu untuk tempoh empat minggu.
“Dalam tempoh empat minggu itu, begini situasi daripada segi pendidikan, bagi peniaga kecil pula, ini adalah situasinya dan daripada segi ekonomi, inilah yang akan diberikan.
“Adakah kita akan memberikan moratorium, ataupun tidak. Semua ini harus memberikan perincian yang penuh dan ia harus dibincangkan dengan rakyat ataupun diberitahu terlebih awal,” ujarnya.
Malah kata Dr Farhan, jika perlu diadakan penutupan secara penuh ini, pihak berkenaan perlu memberitahu apakah langkah susulan yang akan diambil pada setiap hari.
“Kita harus memberitahu apakah kerajaan akan melakukan pada setiap hari PKP itu dilaksanakan, apakah yang dibuat oleh kerajaan ataupun Kementerian Kesihatan.
“Ia untuk memastikan mereka menjalankan tugas untuk menurunkan kes-kes tersebut,” tambahnya ketika dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Lonjakan kes COVID-19 bukan indikator negara dalam keadaan bahaya
Selain itu jelas beliau, rakyat Malaysia perlu menjangkakan kenaikan kes COVID-19 dalam masa beberapa minggu lagi berikutan saringan besar-besaran yang dilaksanakan ketika ini.
Namun baginya, lonjakan kes tersebut tidak perlu menjadi satu kerisauan dan bukan satu indikator bahawa situasi pandemik COVID-19 negara adalah dalam bahaya.
“Kita kena jangka nombor yang diberikan ataupun yang akan diumumkan akan naik, dari hari ke hari. Tetapi itu bukanlah satu kerisauan, kita semua harus memahami, jika nombor kes positif di negara kita mencecah 10,000 ataupun 20,000.
“Itu bukan menjadi indikator bahawa negara kita di dalam keadaan yang bahaya, apa yang merisaukan adalah apabila kes-kes di ICU ataupun kes-kes pesakit kritikal yang meningkat, atau kes kematian harian yang bertambah.
“Jadi di situ kita harus memahami, orang-orang yang dalam risiko seperti mereka yang ada kencing manis darah tinggi harus lebih berwaspada.
Sebelum ini, Dr Farhan berpendapat, sekatan penuh atau 'lockdown' hanya akan menjadi pilihan terakhir kerana negara tidak lagi mampu untuk menanggung kerugian sektor ekonomi yang akan lebih memburukkan keadaan.
#ICU
#ekonomi
#kerajaan
#Kementerian Kesihatan
#pendidikan
#kesihatan
#rakyat Malaysia
#peniaga
#perubatan
#Malaysia
#COVID-19
#kes positif
#pandemik
#PKP