Tidak puas hati soal gaji motif pengawal keselamatan dibunuh
Intan Zalila Baharudin
September 3, 2018 16:28 MYT
September 3, 2018 16:28 MYT
Akibat tidak berpuas hati soal perbezaan gaji, seorang pengawal keselamatan menembak mati rakan setugasnya dalam kejadian di pos pengawal keselamatan di sebuah kilang di Taman Farmaseutikal Seri Iskandar, Jumaat lalu.
Motif kejadian tersebut terbongkar setelah suspek berusia 52 tahun ditangkap di sebuah rumah di Kampung Paloh, Telok Bakong Lambor Kanan di Bota pada pukul 7.30 malam, pada Ahad.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, sebelum itu polis telah menyerbu rumah suspek namun lelaki itu tiada di rumah dan hanya menemukan sepucuk pistol tiruan besi bewarna kelabu jenama Pietro Beretta Gardone V. T buatan Itali.
Katanya, kelopak peluru kosong berserta satu sarung pistol berwarna hitam dan dua kotak plastik lutsinar berisi 100 biji bebola besi turut dijumpai di atas katil di dalam kediaman berkenaan.
“Hasil risikan dan pemantauan yang dilakukan, suspek akhirnya berjaya ditangkap di lokasi sama keesokkan harinya dan pihak polis merampas sepucuk pistol jenis Walther PPK, satu kelopak berisi 49 butir peluru dan satu balutan plastik mengandungi peluru.
“Siasatan lanjut yang dijalankan terhadap suspek yang tinggal seorang diri itu mengaku telah menembak rakan setugasnya yang sama-sama bertugas dari pukul 3 petang hingga 11 malam, 31 Ogos lalu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, pada Isnin.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah.
Yahya berkata, perasaan tidak puas hati antara mangsa, Masri Pandak, 37, dengan suspek yang berusia 52 tahun itu disyaki bermula sejak tiga bulan lalu.
"Suspek beranggapan mangsa cuba untuk masuk campur urusan kewangan dan pekerjaannya di kilang tersebut selain menyebarkan cerita kurang enak mengenai dirinya kepada orang lain," ujar beliau.
Suspek direman bermula hari ini sehingga 9 Sept untuk membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, dalam insiden pukul 8 malam itu, seorang pengawal keselamatan Orang Asli daripada suku Semai dan berasal dari Tronoh maut ditembak rakan sekerjanya di balai pengawal di sebuah kilang ubat di Taman Farmasi di Seri Iskandar.
Mangsa yang dijumpai dalam keadaan terbaring dengan kesan tembakan di dada kiri dipercayai ditembak dengan sepucuk pistol dari jarak dekat berhampiran balai pengawal berkenaan.