Tidak pernah hadir Dewan Negara, Rais Yatim 'kirim salam' kepada Hamzah Zainudin

Harits Asyraf Hasnan
Disember 13, 2021 13:54 MYT
Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim hari ini menegur Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didapati tidak pernah hadir persidangan Dewan Negara. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim hari ini menegur Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin yang didapati tidak pernah hadir ke sidang Dewan Negara pada penggal ini.
Teguran itu dibuat Rais ketika menjemput Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin menjawab soalan jawab lisan.
"Saya nak komen sedikit sahaja, YB Menteri (Hamzah) tidak pernah datang ke Dewan (Negara). Sampaikan salam," ujarnya.
Ketika dihubungi Astro AWANI di sini pada Isnin, Rais mendedahkan Hamzah tidak pernah hadir sejak Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen Keempat Belas yang bermula 13 September lalu.
Tidak pernah hadir Dewan Negara, Rais Yatim 'kirim salam' kepada Hamzah Zainudin
"Saya perlu membuat teguran kerana berdasarkan Perlembagaan, beliau bertanggungjawab terhadap Parlimen, Saya perlu sampaikan perkara ini kepada Timbalannya," kata Rais.
Jonathan dalam reaksinya berkata, "Saya akan sampaikan pesanan itu," jawab Jonathan, secara ringkas.
Teguran berkenaan dibuat ketika Jonathan diminta menjawab soalan berkait penarafan warganegara Malaysia oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dibangkitkan oleh Senator Aziz Ariffin.
#Hamzah Zainudin #Dewan Negara #Rais Yatim #tidak pernah hadir Dewan Negara
;