Tidak pernah guna istilah 'Tanah Besar Malaysia' merujuk Sabah, Sarawak

Harits Asyraf Hasnan
Disember 1, 2021 03:30 MYT
Di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti 'East Malaysia' dan 'Peninsular Malaysia' yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta 388. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Istilah 'Tanah Besar Malaysia' tidak pernah digunakan dalam Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang sedia ada.
Demikian ditegaskan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Hanifah Hajar Taib.
Bagaimanapun, katanya, di bawah undang-undang sedia ada, terdapat beberapa istilah yang digunakan seperti 'East Malaysia' dan 'Peninsular Malaysia' yang ditakrifkan di bawah Seksyen 3 Akta Tafsiran 1948 dan 1967 (Akta 388).
"Diperhatikan bahawa takrif bagi istilah-istilah, 'East Malaysia' dan 'Peninsular Malaysia' tersebut diperuntukkan di bawah Akta 388 kerana merupakan istilah yang selalu digunakan pada waktu semasa.
"Hendaklah ditekankan juga bahawa takrifan sedemikian tidak merujuk kepada keluasan kawasan Negeri-Negeri di dalam 'East Malaysia' dan 'Peninsular Malaysia' mahupun perbezaan dari segi kedudukan sebagai wilayah.
"Sebagai contoh, antara undang-undang sedia ada yang ada menggunakan istilah 'East Malaysia' dan 'Peninsular Malaysia' adalah seperti Seksyen 63, Seksyen 64 dan Seksyen 72, Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Perintah Insurans (Pengecualian) (No.2) 2012," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Seri Madius Tangau (UPKO-Tuaran) yang ingin tahu adakah kerajaan bercadang untuk menjenamakan Wilayah Sabah dan Wilayah Sarawak sebagai Tanah Besar Malaysia memandangkan 'Federation of Malaya' sudah sekian lama dinamakan sebagai Semenanjung Malaysia.
Mengulas lanjut, Hanifah Hajar berkata, kerajaan berpandangan istilah sedia ada dalam undang-undang adalah memadai.
Malah, cadangan pindaan Perkara 1(2) seperti yang diperuntukkan di dalam Rang Undang-Undang Perlembagaan Persekutuan (Pindaan) 2021 sekiranya diluluskan kelak akan memperuntukkan kembali istilah Negeri-Negeri Borneo (the Borneo States) yang mana merujuk kepada Sabah dan Sarawak.
#Hal Ehwal Sabah dan Sarawak #Tanah Besar Malaysia #Borneo States #Parlimen