Tidak perlu tandatangan wakil rakyat dalam borang permohonan biasiswa pendidikan Pahang
Bernama
Mei 11, 2023 12:52 MYT
Mei 11, 2023 12:52 MYT
KUANTAN: Keperluan mendapatkan tandatangan wakil rakyat pada borang permohonan biasiswa dan pinjaman pendidikan kerajaan negeri menerusi Yayasan Pahang (YP) telah dimansuhkan bermula tahun ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata tindakan itu bertujuan memudahkan pelajar yang mahu memohon biasiswa atau pinjaman tersebut selain turut memudahkan wakil rakyat agar tidak lagi perlu menandatangani borang itu.
"Pemohon telah dibenarkan untuk membuat permohonan secara online (dalam talian). Saya harap wakil rakyat di sini boleh beritahu anak-anak kita di kawasan masing-masing untuk buat permohonan secara online," katanya.
Wan Rosdy berkata demikian semasa menjawab soalan Rosli Abdul Jabar (PN-Tanjung Lumpur) yang memohon penjelasan mengapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang tidak diberikan kelayakan menandatangani borang biasiswa pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.
Jawapan Wan Rosdy mendapat pujian Yang Dipertua DUN Pahang Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin kerana beliau juga pernah 'mengambil masa lama untuk menandatangani borang berkaitan pendidikan kerana jumlahnya yang bertimbun' semasa menjadi ADUN Lanchang.
Sejak penubuhan YP pada 1983 hingga tahun lepas, Wan Rosdy berkata sebanyak RM1.4 bilion telah disalurkan bagi tujuan pendidikan yang memanfaatkan lebih 1.7 juta penerima.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut mengakui pernah mendapat pinjaman pendidikan YP namun 'ditukar' menjadi biasiswa kerana cemerlang akademik sebelum mengemukakan soalan tambahan jika kemudahan itu turut ditawarkan kepada penjawat awam yang mahu menyambung pelajaran ke peringkat sarjana atau doktor falsafah.
Wan Rosdy menjawab perkara itu boleh dipertimbangkan menerusi perbincangan Lembaga Pengarah YP dan boleh diluluskan jika ia memberikan manfaat kepada kerajaan negeri.
-- BERNAMA