Tidak perlu tandatangan ikrar pilihan raya - Hadi
Irwan Muhammad Zain
Februari 21, 2013 19:56 MYT
Februari 21, 2013 19:56 MYT
Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berpendapat ikrar integriti pilihan raya tidak perlu ditandatangani sebaliknya yang perlu dipentingkan adalah keikhlasan dalam hati.
Beliau berkata sejarah membuktikan tanpa menandatangani sebarang ikrar pilihan raya, wakil rakyat Pas tetap mempunyai integriti kerana tidak menerima sebarang rasuah.
Abdul Hadi menjelaskan jika ikrar pilihan raya itu ditanda-tangan semata-mata untuk mengaburi mata rakyat ia tidak mendatangkan sebarang makna.
"Yang penting dalam hati, kalau tandatangan tetapi dalam hati tidak ada keikhlasan dalam hati tiada makna," katanya kepada wartawan selepas merasmikan treler Negara Berkebajikan di ibu pejabat Pas, hari ini.
Mengulas mengenai pelancaran treler tersebut, Abdul Hadi berkata, ia sebagai jentera bergerak yang akan digunakan pada kempen pilihan raya akan datang ke seluruh negara.
Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kos treler itu ditanggung oleh ahli Pas sendiri.
"Semua ditanggung oleh rakan-rakan dan dermawan-dermawan dalam parti, duit PAS ada dalam poket ahli," katanya.
Kempen pilihan raya pertama menggunakan jentera tersebut adalah di Pendang, Kedah pada 23 Februari ini.
Harga treler tersebut ialah RM300,000, mempunyai kemudahan wifi, dilengkapi sistem audio dan pentas sepanjang 40 kaki.