Tidak perlu PKP di semua tempat, utamakan kawasan bermasalah - Pakar

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 2, 2020 07:00 MYT
Menurut Dr Marlina, pendekatan itu perlu dilaksanakan di kawasan-kawasan terlibat sahaja bagi membolehkan keadaan tersebut dapat dikawal sepenuhnya
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak perlu dilaksanakan di semua tempat sebaliknya diutamakan kepada kawasan yang mempunyai masalah peningkatan wabak.
Pakar Epidemiologi UPM, Prof Madya Dr Marlina Osman berpandangan negara masih mempunyai banyak kawasan hijau dan penduduk terlibat masih boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.
“Kita masih banya kawasan hijau, mereka boleh teruskan hidup seperti biasa dan dengan pengalaman yang ada di kalangan pegawai kesihatan keadaan tersebut boleh diberikan kawalan yang cukup strategik hingga dapat cegah penularan.
"Sebagai contoh, kawalan yang menyeluruh pada Mac lalu, kerana itu pengalaman pertama kita hadapi wabak yang masing masing tidak pasti sejauh mana keterukan atau impak dan kita belum beri perhatian kepada SOP yang perlu kita laksanakan dari masa ke semasa.
"Dengan pengalaman itu, pendekatan itu perlu dilaksanakan di kawasan-kawasan terlibat sahaja bagi membolehkan keadaan tersebut dapat dikawal sepenuhnya,” kata Dr Marlina.
Dalam konteks mengadakan pilihan raya pula, beliau mencadangkan agar pihak berwajib memaksimumkan platform teknologi bagi melaksanakan pilihan raya berkenaan.
Katanya, aktiviti sepanjang pilihan raya yang melibatkan kempen terutamanya banyak melibat pendedah yang tidak perlu dan memungkinkan risiko jangkitan.
“Sekiranya kita punyai sistem perbankan online, sistem pendidikan online dan saya tidak nampak sebab kenapa kita tidak boleh rangka satu platform terbaik untuk melaksanakan pilihan raya tersebut.
"Contohnya, dalam PRU kita banyak aktiviti kempen seingga hari pengundian dan hari menentukan kemenangan, konteks dalam menghadapi COVID ini, kita perlu elakkan perhimpunan beramai-ramai dan mencegah penularan secara drastik, seterusnya kita boleh cegah peningkatan kepada mereka yang terdedah.
"Dengan pendekatan kita dapat memaksimumkan teknologi virtual ini, kita dapat elakkan pendedahan yang tidak perlu.
"Saya sarankan, mulai sekarang kita bersedia untuk menghadapi PRU yang mungkin dalam tempoh terdekat, kepada pihak berkenaan saya syorkan untuk dapat sediakan platform berkenaan untuk elakkan apa yang berlaku dalam pilihan raya baru-baru ini hingga mencetuskan kluster-kluster di tempat yang baharu,” tambahnya lagi.
Dalam pada itu, Dr Marlina juga menasihati orang ramai agar tidak panik dan tenang dalam menghadapi gelombang baharu COVID-19.
Rakyat sepatutnya mengambil pengalaman PKP sejak Mac lalu dalam menempuhi keadaan seperti ini.
“Melalui pengalaman tersebut dan kelaziman kita hadapi SOP, sepatutnya keadaan sekarang ini kita dapat lalui dengan lebih tenang maksudnya kita dah tau langkah-langkah yang perlu diambil.
"Tinggal lagi komitmen untuk pasti semua SOP dipatuhi perlu dilaksana setiap individu dan pada waktu sekarang ini keperluan untuk keluar rumah itu, kita perlu timbang semula.
"Jika tidak ada keperluan, tidak perlulah keluar beramai-ramai dan sebagainya.
"Untuk menghadapi ini, mengawal emosi kita dalam mengahdapi keadaan yang semakin membimbangkan ini adalah penting untuk memastikan langkah-langkah yang diikuti adalah tepat,” ujarnya.
#PKP #koronavirus #COVID-19 #Marlina Osman #Pakar Epidemiologi UPM #kesihatan #pilihan raya #perintah kawalan pergerakan
;