'Tidak perlu PhD untuk tahu rakyat susah' - Syed Saddiq bidas Ahmad Maslan
Hasimi Muhamad
Januari 9, 2021 16:24 MYT
Januari 9, 2021 16:24 MYT
KUALA LUMPUR: Pengasas bersama Parti Ikatan Demokratik (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengkritik Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang menyatakan bahawa hanya graduan Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dapat memahami keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menerusi kemas kini di laman Twitter, Ahli Parlimen Muar itu secara sinis berkata, PhD tidak diperlukan untuk mengetahui keadaan rakyat yang ketika ini dalam kesusahan, kelaparan dan sakit.
"Jangan 24/7 fikir soal kuasa sahaja. Dah jadi kerajaan sekarang, ambillah tanggungjawab dan jaga rakyat. Krisis COVID makin parah, krisis banjir belum cari jalan nak selesai.
"Buat kerja dululah," selar Syed Saddiq sambil memuat naik keratan laporan berita bertajuk "'Orang ada PhD faham mengapa perlu PRU secepat mungkin".
Memetik laporan yang disiarkan portal Malaysiakini, Ahmad menyifatkan hanya golongan berpendidikan tinggi dapat memahami keperluan melakukan pilihan raya umum secepat mungkin.
Ahmad berkata demikian selepas menonton laporan berita memaparkan reaksi seorang pemarut kelapa yang berpandangan PRU tidak wajar diadakan buat masa ini kerana penularan COVID-19 masih berlaku.
"Tak pastilah (individu) itu daftar undi atau tidak. Dia cakap tak boleh lakukan PRU kerana COVID-19.
“Tapi saya jawab kenapa perlu PRU, kerana banyak negara yang sudah lakukan antaranya di Amerika Syarikat, Singapura dan kita juga dah laksana pilihan raya kecil (PRK) di Chini, Slim dan pilihan raya negeri (PRN) Sabah.
“Rasanya yang parut kelapa tadi itu dia tidak perasan, yang ditemu bual sebagai suara akar umbi (rakyat) itu tidak tahulah hanya lepasan sekolah tinggi kot.
"Kalau dari UIA (Universiti Islam Malaysia) atau ada PhD (ijazah kedoktoran), saya rasa dia boleh ulas dengan lebih tepat,” kata Ahmad dipetik sebagai berkata.
Dalam laporan tersebut juga, Ahmad turut memaklumkan bahawa peningkatan kes COVID-19 di Sabah ketika Pilihan Raya Negeri (PRN), antaranya berpunca kerana kemasukan orang-orang pulau tanpa saringan.
Beberapa hari lepas, kenyataan Ahmad turut mencetuskan perdebatan termasuk dalam kalangan ahli UMNO selepas beliau dilaporkan berkata, UMNO tidak menyokong Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) enggan menarik balik kes mahkamah melibatkan pemimpin parti itu.
Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin kemudian menyifatkan kenyataan itu sebagai 'goreng pisang'.