Tidak perlu permit untuk berbasikal, tetap perlu patuh peraturan - Polis
Nursyazwani Saiful Sham
Januari 4, 2021 12:15 MYT
Januari 4, 2021 12:15 MYT
KUALA LUMPUR: Penunggang basikal bebas untuk ke mana-mana sahaja serta tidak perlu untuk memohon permit.
Bagaimanapun, tegas Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali, mereka perlu mematuhi semua peraturan jalan raya sama seperti penunggang motosikal.
“Penunggang basikal boleh berjalan di mana-mana sahaja dan tidak perlu permit, tetapi sekiranya nak lalu di lebuh raya contohnya ada marathon, atau acara berbasikal besar-besaran seperti Le Tour de Langkawi perlu mendapat pemakluman untuk kita lakukan kawalan.
“Tetapi bagi yang bertujuan untuk beriadah, tidak perlu permit, kerana kita sudah ada undang-undang dan mereka perlu ikut peraturan.
“Contohnya lampu merah kita berhenti, basikal pun sama. Selain itu perlu ikut lorong yang ditetapkan dan jangan melalui laluan bertentangan,” dalam program AWANI Pagi yang membincangkang aspek keselamatan berbasikal pada Isnin.
Dalam pada itu, Fadzil turut memaklumkan orang ramai boleh menggunakan laluan biasa namun perlu dalam satu barisan.
“Contohnya di Putrajaya kita sudah menyediakan laluan yang cukup cantik dan tidak ada halangan buat mereka melalui laluan ini.
“Namun kawasan lain sekiranya tiada laluan khas berbasikal, kita boleh berjalan mengikut laluan biasa tetapi perlu dalam satu barisan.
“Ia bagi memastikan perjalanan itu tidak ganggu kenderaan lain yang juga gunakan jalan yang sama. Pastikan tidak berlumba-lumba sehingga mencetuskan kemarahan orang lain,” jelasnya.
Sebelum ini, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (KJSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata tindakan mewajibkan ciri-ciri keselamatan termasuk pemasangan loceng, lampu dan brek bukan hanya terpakai di Putrajaya, sebaliknya di seluruh negara.
Bagaimanapun, beliau berkata operasi ketika ini tertumpu di Putrajaya susulan insiden kemalangan maut dan jumlah penunggang basikal di kawasan tersebut.
#keselamatan
#undang-undang
#operasi
#kemalangan
#berbasikal
#Ketua Polis Daerah Putrajaya
#Asisten Komisioner Mohd Fadzil Ali