Tidak perlu lagi tinggal dalam kereta, lima beranak terima rumah PPR
Dewi Nur Harasha Alias
Disember 26, 2020 14:27 MYT
Disember 26, 2020 14:27 MYT
GEORGE TOWN: Selepas nasib S Ganesh sekeluarga yang menjadikan kereta sebagai kediaman mendapat liputan meluas media, kerajaan negeri Pulau Pinang akhirnya meluluskan permohonannya untuk mendapatkan sebuah unit kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Tiada apa yang mampu diungkapkan pengawal keselamatan berusia 34 tahun itu selain bersyukur dengan keprihatinan yang ditunjukkan banyak pihak kepada dia dan keluarganya .termasuk kerajaan negeri yang menghulurkan bantuan termasuk meluluskan permohonan rumah PPR buat mereka..
Buat sementara waktu, Ganesh berkata, dia bersama isteri dan tiga anaknya akan tinggal di unit bencana di PPR Padang Tembak, di sini sehingga unit PPR di blok berhampiran selesai dibaiki.
“Terima kasih ramai orang tolong saya macam satu Malaysia… satu Malaysia tolong saya bagi sumbangan, barang-barang keperluan anak-anak” katanya kepada wartawan ketika ditemui selepas menerima kunci rumah di PPR Padang Tembak pada Sabtu.
Dalam pertemuan itu, Ganesh juga berterima kasih kepada petugas media yang menyiarkan kisah malang kehidupan dia sekeluarga sehinggakan bantuan yang diterima di luar jangkaannya.
“Terima kasih juga kepada media, selepas kisah saya keluar, ramai orang datang bagi bantuan kepada saya dan keluarga. Sekarang saya sudah ada rumah… saya betu-betul gembira, saya isteri dan anak-anak boleh tidur di rumah” kata Ganesh penuh bersyukur.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo ketika menyerahkan kunci rumah kepada Ganesh memaklumkan, pihaknya hanya menerima permohonan Ganesh untuk menduduki rumah PPR itu pada Rabu lalu.
Sebelum ini, keluarga tersebut telah ditawarkan untuk menduduki unit bencana oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas kediaman mereka terbakar April lalu.
Namun, Jagdeep difahamkan Ganesh telah menolak tawaran tersebut dan hanya memohon dua hari lalu untuk menduduki rumah PPR.
Menurut Jagdeep, pada masa ini, keluarga itu telah menerima tawaran untuk tinggal di unit bencana yang disediakan sebelum berpindah ke unit PPR setelah rumah berkenaan siap dibaiki.
Beberapa hari lalu, media tempatan termasuk Astro AWANI melaporkan kisah Ganesh dan keluarganya yang terpaksa tinggal di dalam kereta jenis Proton Iswara sejak lapan bulan lalu selepas kediaman mereka di Lebuh Carnavon musnah dalam kebakaran April lalu.
Berikutan tiada tempat tinggal, Ganesh bersama isteri dan tiga orang anaknya termasuk yang berusia lapan bulan terpaksa tinggal di dalam kereta kerana gaji yang diterima Ganesh sebagai pengawal keselamatan tidak mampu membiayai sewa rumah.
Mereka juga terpaksa menjadikan tandas awam untuk mendapatkan sumber air dan membersihkan diri.
Apa yang turut meruntun emosi ialah apabila isteri Ganesh terpaksa melalui proses berpantang di dalam kereta selepas melahirkan anak bongsu mereka.
Kesulitan hidup yang dihadapai Ganesh juga turut mendapat perhatian dermawan terkena, Ebit Liew yang bergegas ke Pulau Pinang untuk menyalur bantuan kepadanya.
#Ganesh
#kereta jadi rumah
#tinggal dalam kereta
#pulau pinang
#Ebit Liew
#Kerajaan Negeri Pulau Pinang
#tandas awam
#tiga orang anak
#bayi lapan bulan
#pengawal keselamatan