Tidak perlu lagi ragu keselamatan, keberkesanan vaksin Sinovac -Khairy

Ridauddin Daud
Mac 18, 2021 14:58 MYT
Khairy ditemui pada sidang media di Hospital Rembau selepas menjadi penerima pertama vaksin Sinovac pada Khamis. - Foto Astro AWANI/Ridaudeen Daud
REMBAU: Rakyat Malaysia tidak perlu lagi meragui vaksin buatan syarikat biofarmaseutikal dari China, Sinovac, kerana ia terbukti berkesan dan selamat.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Sinovac akan menjadi sebahagian daripada program imunisasi negara.
"Sinovac, sama seperti Pfizer BioNTech adalah selamat dan stabil untuk diambil.
"Selama 30 minit pemerhatian, saya tidak alami atau rasai kesan sampingan teruk malah tiada kesan apa-apa langsung.
"Suntikan tadi pun berjalan lancar. Saya tidak sedar pun bila saya sudah disuntik tadi," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Hospital Rembau selepas menjadi penerima pertama vaksin berkenaan pada Khamis.
BACA: Ikuti perkembangan berita terkini vaksin COVID-19 di sini.
Khairy turut menasihatkan rakyat sekiranya mereka dijadual menerima vaksin Sinovac kelak, mereka digalakkan untuk menerimanya kerana ia terbukti selamat dan berkesan.
"Sinovac juga diberikan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo dan Presiden Turki, Recep Tayyib Errogan.
"Meskipun negara kita baru terima vaksin ini tapi lebih daripada 15 peratus dos global yang diberikan ialah Sinovac.
"Banyak negara lain tahu keberkesanan dan keselamatan vaksin ini yang diberikan kepada penduduk di negara mereka," ujarnya lagi.
Lepas suntik Sinovac, Khairy Jamaluddin terus fasih bahasa mandarin
#Khairy Jamaluddin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #COVID-19 #vaksin #Sinovac #BioNTech
;