Tidak perlu konsert, cukuplah hiburan yang ada - Idris
Shuhada Abdul Kadir
Ogos 20, 2022 18:38 MYT
Ogos 20, 2022 18:38 MYT
MELAKA TENGAH: Penganjuran konsert yang berterusan sejak akhir-akhir ini tidak seharusnya berlaku ketika negara baru saja beralih ke Fasa Peralihan Endemik COVID-19.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, beliau bukan bersikap anti-konsert atau anti-hiburan, tetapi acara seperti itu perlu dikurangkan selain konsert sedemikian mengundang kepada masalah sosial yang lebih teruk.
"Sepatutnya konsert ini tak perlu ada, kita bukan anti-hiburan, jangan kata kita anti-hiburan, cukuplah orang kata kita baru alami pandemik COVID-19.
"Kita kena tengoklah semua berlaku ini Allah punya kuasa, sekarang ini Alhamdulillah Allah tarik pandemik balik hasil keberkatan. Dari segi penurunan (jangkitan) kita kurang, tiba-tiba kita buat macam ini (konsert) amat malang bagi kita, tak sepatutnya buat macam itu.
"Sepatutnya kurangkan atau tak ada pun, cukuplah hiburan yang ada di Malaysia. Kekadang kita tengok tak termampu orang tengok pun, dalam ekonomi teruk masalah, sosial masalah lain," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Dewan Besar dan Upacara Pecah Tanah Pondok Kitab Turath di Bukit Lintang, Melaka hari ini.
Terdahulu, media melaporkan Pemuda Pas pada Jumaat mengecam penganjuran konsert ‘bertalu-talu’ di negara ini sambil menyifatkan ia 'kerja gila'.
Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari berkata, penganjurannya akan menjemput kemurkaaan Allah.
Ahmad Fadhli bagaimanapun tidak merujuk pada mana-mana konsert secara khusus.
Kenyataan dibuat itu tidak sampai 24 jam selepas konsert penyanyi Amerika Syarikat ,Billie Eilish: Happier Than Ever, The World Tour di Stadium Nasional Bukit Jalil di Kuala Lumpur.