Tidak perlu kebenaran JPBN dan saringan untuk masuk Sarawak

Nickyson Nyambar
Jun 13, 2020 16:05 MYT
Ismail Sabri berkata, setiap warganegara masih perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan memuat turun aplikasi MYSejahtera sebelum merentas ke mana-mana negeri. -Gambar Arkib
Orang ramai yang mahu berkunjung ke Sarawak tidak lagi perlu memohon kebenaran dan menjalani proses saringan serta pengambilan sampel tiga hari sebelum penerbangan seperti yang diarahkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak sebelum ini.
Menurut Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan kebenaran bagi merentas negeri seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Ahad lepas, setiap warganegara bagaimanapun masih perlu mengikut syarat yang dikeluarkan oleh kerajaan.
Dalam konteks negeri Sarawak jelas Ismail Sabri, mereka masih terikat dengan arahan kerajaan negeri tersebut.
“Mengenai pergerakan rentas negeri ke Sarawak, mereka tidak lagi perlu memohon kebenaran dari Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan tidak perlu melalui ujian sampel (PCR) sebelum berlepas ke negeri itu. Jadi, tidak perlu ujian Swab dan sebagainya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Putrajaya pada Sabtu.
Tambah beliau, setiap warganegara Malaysia perlu mengisi borang deklarasi kesihatan dan aplikasi MYSejahtera seperti yang disaran kerajaan sebelum ini.
Dalam pada itu, mereka yang tiba dari luar Sarawak juga tidak ketinggalan melalui saringan yang akan diadakan secara rambang di setiap pintu masuk negeri itu.
"Mereka yang merancang untuk ke Sarawak turut dinasihatkan memuat turun aplikasi COVIDTrace dan Qmunity bagi memudahkan proses identifikasi oleh penguat kuasa sekiranya terdapat risiko jangkitan COVID-19," katanya.
BACA: Perangi COVID-19: Sarawak lancar aplikasi COVIDTrace dan Qmunity
Terdahulu, Pengerusi JPBNS, Datuk Amar Douglas Uggah Embas turut memaklumkan perkara sama. Ini menjawab kepada pertanyaan orang ramai berkenaan Prosedur Operasi Standard (SOP) tersendiri yang dikenakan kerajaan negeri itu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB)
#Astro Awani #AWANI Sarawak #COVID TRACE #Datuk Amar Douglas Uggah Embas #Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak #JPBNS #Menteri Kanan Keselamatan #QMUNITY
;