Tidak perlu disamakan dengan haiwan - Lee Lam Thye

Astro Awani
Januari 14, 2019 06:58 MYT
Lee berkata, pihak berkuasa tempatan sepatutnya menggunakan pendekatan lebih sesuai dan berhemah seperti menggunakan ayat bersifat mendidik pada vest yang dipakai pesalah. - Gambar fail
Penggunaan perkataan ‘monyet’ pada vest individu yang didenda ketika melakukan kerja amal mengutip sampah adalah tidak sesuai, kata aktivis masyarakat Tan Sri Lee Lam Thye.
Tambahnya, pendekatan sebegitu menjurus kepada satu bentuk penghinaan.
“Dalam hal ini, yang menjadi keutamaan adalah memberi kesedaran kepada pesalah dengan menimbulkan rasa malu apabila mereka diwajibkan melakukan kerja-kerja kemasyarakatan.
“Namun, ia tidak bermakna mereka perlu berhadapan dengan satu bentuk penghinaan disamakan sebagai haiwan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Merujuk kepada 12 individu di Semporna, Sabah, yang dikenakan denda melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai vest tertulis perkataan ‘monyet’ pada Khamis lalu, Lee berkata ia satu tindakan yang keterlaluan.
Katanya, pihak berkuasa tempatan (PBT) sepatutnya menggunakan pendekatan lebih sesuai dan berhemah seperti menggunakan ayat bersifat mendidik pada vest yang dipakai pesalah.
Undang-undang yang dilaksanakan PBT menyatakan, pemakaian vest itu hanya tertakluk kepada pemegang dokumen Pendaftaran Orang Asing Khas (IMM13), masyarakat Pala'u dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang suka membuang sampah sesuka hati.
Rakyat tempatan dan pelancong asing dikenakan kompaun mengikut undang-undang kecil Anti Kutu Sampah jika berbuat demikian.
Lee berkata, hukuman berbeza terhadap kumpulan tertentu menunjukkan terdapat unsur diskriminasi dalam pelaksanaan undang-undang yang dilaksanakan sejak 1 Jan lepas.
Beliau mengggesa Akta Vandalisme diperkenalkan supaya hukuman khidmat masyarakat diwajibkan manakala hukuman rotan dikenakan terhadap pesalah tegar.
“Khidmat masyarakat adalah cara yang lebih berkesan untuk memerangi vandalisme berbanding hukuman lain, terutamanya kompaun atau denda,” katanya.
#buang sampah #denda #diskriminasi #kerja kemasyarakatan #keterlaluan #kompaun #Lee Lam Thye #monyet #pati #pelancong #pendatang asing tanpa izin #penghinaan #pihak berkuasa tempatan #Semporna #undang-undang
;