Tidak perlu bubar, JAKIM masih relevan - IKRAM
Rahimah Abdullah
Jun 1, 2018 17:32 MYT
Jun 1, 2018 17:32 MYT
Pertubuhan Ikram Malaysia (IKRAM) menegaskan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) masih relevan dan tidak perlu dibubarkan atau dimansuhkan seperti desakan sesetengah pihak.
Naib Presidennya, Burhanuddin Lukman bagaimanapun menjelaskan, institusi itu memerlukan penambahbaikan terutama dalam aspek tadbir urusnya.
"Jadi saya rasa tidak berbangkitlah isu untuk membubarkan atau memansuhkan JAKIM, kalau kita buat begitu, bagaimana kerajaan pusat nak melaksanakan tanggungjawab dia untuk memastikan Islam sebagai agama persekutuan.
"Justeru, JAKIM masih lagi relevan dengan melakukan penambahbaikan kerana semua orang ditambah baik," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat IKRAM di Seri Kembangan, di sini hari ini.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kerajaan akan melihat semula peranan JAKIM dengan mengumpulkan sejumlah ilmuan Islam untuk membincangkan masa depan jabatan itu.
Bagaimanapun, Pengkritik tetap JAKIM, Tawfik Ismail menyuarakan bantahannya terhadap rancangan untuk menilai peranan agensi itu, dengan mengatakan ia sepatutnya dibubarkan terus.
Burhanuddin dalam pada itu mengakui JAKIM mempunyai kelemahan yang perlu diperbaiki dan masalah itu disifatkan sebagai keadaan biasa yang dilalui institusi Islam lain.
"Perkara ini jelas dalam Perkara 8. JAKIM dan institusi lain perlu dikekalkan dengan menambahbaik tadbir urusnya. Semua orang ada kelemahan dan semua pihak perlu terima teguran.
"Kewujudan JAKIM selari dengan Perlembagaan Persekutuan Artikel 3. Jadi, JAKIM masih pertubuhan yang relevan tetapi dengan penambahbaikan," jelasnya lagi.
Justeru katanya, IKRAM menyambut baik cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengkaji semula peranan JAKIM.
Pada sidang media sama, IKRAM turut mengemukakan 13 resolusi kepada kerajaan Pakatan Harapan bagi memastikan kepentingan umat Islam hari ini.
Selain mengekalkan institusi dan agensi berkaitan hal ehwal Islam di bawah pentadbiran Jabatan Perdana Menteri seperti JAKIM, IKRAM mengesyorkan agar perlantikan mana-mana individu untuk memegang jawatan perlu berdasarkan kelayakan dan kepakaran mereka.
IKRAM juga mahu mana-mana pihak dalam kerajaan mengelak membawa isu-isu agama yang sensitif dan boleh mengundang perpecahan dan persepsi negatif masyarakat.
"Kedudukan dan bidang kuasa Mahkamah Syariah juga perlu ditingkatkan dan proses peningkatan ini perlu digerakkan segera," ujarnya.
#IKRAM
#Islam
#JAKIM
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#mahkamah
#Malaysia
#Media
#menteri
#Pakatan Harapan
#Perdana Menteri
#presiden
#syariah