Tidak perlu bimbang COVID-19 di China, tingkatkan pemberian dos penggalak - Pakar
Irfan Faruqi
Januari 5, 2023 18:09 MYT
Januari 5, 2023 18:09 MYT
Kuala Lumpur: Tidak ada kebimbangan yang ketara susulan peningkatan kadar jangkitan COVID-19 di China, memandangkan ia bersifat sementara.
Menurut Pakar Kesihatan Awam Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Othman, fenomena yang dialami China ketika ini adalah sama dengan pengalaman negara-negara lain.
"Seandainya disahkan secara saintifik apa yang berlaku di China adalah disebabkan oleh subvarian Omicron BA.5.2 dan BF.7 saya melihat tidak ada sebenarnya kebimbangan yang ketara ketika ini.
"Maksudnya apa yang dialami di China sama seperti dialami di tempat-tempat yang lain," jelasnya ketika ditemu bual dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI.
Sehubungan itu, Dr Malina menggalakkan orang ramai mendapatkan perlindungan tambahan dengan mendapatkan dos penggalak khususnya bagi golongan yang berisiko.
"Kita tahu dalam tempoh setahun ini kita melalui fasa peralihan ke endemik. Kebanyakan daripada kita dalam honeymoon period. Maksudnya kita seolah-olah baru kebah daripada sesuatau kesusahan dalam konteks masyarakat," jelas beliau.
Menyentuh strategi Kementerian Kesihatan untuk menangani isu yang berbangkit ini, Dr Malina menjelaskan, kerajaan harus mengkaji langkah penguatkuasaan yang realistik jika ada rancangan untuk mengetatkan sempadan negara.
"Pada pandangan saya untuk mengetatkan sempadan negara, ia tidak tertumpu kepada mereka yang berada di negara China. Strategi itu dilihat tidak realistik memandangakan mereka boleh saja masuk ke Malaysia melalui mana-mana negara lain," ujar beliau lagi.