Tidak peka SOP, sukarkan pengesanan kontak - Ismail Sabri
Astro Awani
Mei 9, 2021 20:12 MYT
Mei 9, 2021 20:12 MYT
KUALA LUMPUR: Gagal merekod butiran diri ketika masuk ke sesebuah premis terus menjadi kesalahan paling tinggi direkodkan dalam operasi pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pihaknya kesal kerana sudah lebih setahun rakyat dan negara berperang dengan COVID-19, masih ada pihak yang tidak peka dengan SOP pencegahan berkenaan.
"Ini menunjukkan masih ada di kalangan kita bersikap sambil lewa sedangkan COVID-19 kini sudah berada dalam komuniti.
"Kegagalan pematuhan SOP bukan sahaja menyukarkan pihak berkuasa mengesan sesuatu kes sebaliknya akan mendatangkan masalah kepada orang lain.
"Sebagai contoh, jika berlaku penyebaran kes, adalah sukar bagi pihak berkuasa mengesan siapa yang ada kontak rapat dan sebagainya," katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Tegasnya, kerajaan sentiasa menitikberatkan pematuhan SOP kerana langkah itu mampu mengekang penularan COVID-19.