Tidak patuh SOP PKP: 24 premis perniagaan, dua tapak binaan diberi amaran
Fareez Azman
Ogos 19, 2020 15:39 MYT
Ogos 19, 2020 15:39 MYT
Sejumlah 24 premis perniagaan dan dua tapak binaan diberi amaran selepas didapati tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dalam pemeriksaan khas pada Selasa.
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP yang dijalankan Pegawai Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) terhadap 776 premis, perniagaan di seluruh negara mendapati 24 premis tidak mematuhi SOP yang ditetapkan.
"Pegawai penguat kuasa KPDNHEP telah melakukan 1,406 pemeriksaan khas Pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,358 premis mematuhi SOP yang ditetapkan manakala 24 premis diberi nasihat, dan 24 premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP.
"Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan ingin menggesa pengusaha dan orang ramai supaya sentiasa mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakan sosial dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya dalam kenyataan media pada Rabu.
Turut dijalankan pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 776 premis perniagaan termasuk 569 peruncit, 178 pemborong dan 29 pengilang.
Pemeriksaan secara keseluruhan mendapati bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara selain mudah diperolehi.
Manakala bagi kesalahan tapak binaan pula, pemeriksaan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) di 27 tapak binaan mendapati dua daripada tidak mematuhi SOP yang ditetapkan dan diberikan amaran.
"Semalam (Selasa), Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) telah membuat pemeriksaan di 27 tapak binaan di seluruh Malaysia yang melibatkan 75 anggota penguat kuasa.
"Hasil pemeriksaan mendapati 25 tapak binaan telah patuh SOP yang ditetapkan manakala 2 tapak binaan tidak patuh SOP dan diberi amaran," kata Menteri Kanan Pertahanan itu.
#amaran
#ingkar
#ismail sabri yaakob
#Kenyataan Media
#kerajaan
#KPDNHEP
#Menteri Kanan Pertahanan
#Pemantuan Khas
#pemeriksaan
#penjarakan fizikal
#PKP
#PKPP
#SOP