Tidak pakai pelitup muka, 9 pekerja penghantar barang dikompaun
Salim Aziz
Jun 7, 2021 21:42 MYT
Jun 7, 2021 21:42 MYT
ARAU: Sembilan pekerja penghantar barang di sebuah premis perniagaan di Jejawi di sini hari ini dikenakan kompaun RM1,500 setiap seorang, selepas kesemua mereka didapati tidak memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah Arau Superintendan Nanda Maarof, yang mengesahkan kejadian yang tular di media sosial itu berkata, anggota pasukan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) melakukan pemeriksaan di kawasan itu pada jam 1.30 tengah hari tadi.
"Hasil pemeriksaan mendapati sembilan daripada 40 pekerja tidak memakai pelitup muka," katanya ketika dihubungi hari ini.
Nanda berkata, polis terpaksa mengambil tindakan tegas mengeluarkan kompaun terhadap sembilan penghantar barang berumur 20 hingga 30 tahun itu.
Kompaun itu katanya, dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Akta Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.