Tidak mudah pastikan bungkusan tuala basah ditemui di Australia milik MH370 - Pakar

Syafique Shuib, Mariah Ahmad
Mac 11, 2015 18:04 MYT
Prof Madya Dr Mohamed Kamil Abd Rashid berkata Malaysia Airlines harus mengesahkan jika objek berkenaan berada di dalam pesawat MH370. -Gambar fail
Kajian saintifik perlu dilakukan untuk mengesahkan sekiranya bungkusan tuala basah yang ditemui di Thirsty Point, Australia milik pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang hilang sejak tahun lalu.
Pengarah Institut Oseanografi & Pengajian Maritim UiAM, Prof Madya Dr Mohamed Kamil Abd Rashid berkata sekiranya benar ia telah berada di lautan untuk satu tempoh yang lama, ahli saintis harus melakukan pemeriksaan kepada organisma yang melekat di bungkusan berkenaan.
“Ia mengambil masa berminggu sebelum sesuatu organisma itu sesuai untuk melekat pada bungkusan. Bungkusan ditemui pada Julai 2014, pastinya akan ada tumbuhan, organisma atau alga yang melekat di bungkusan berkenaan.
“Tetapi jika ia masih bersih, ia tidak mungkin ia sudah berada di laut untuk tempoh yang lama. Ada juga kemungkinan ada orang yang mengambil objek itu dari pesawat MAS dan letak di situ,” kata Dr Mohamed Kamil ketika dihubungi Astro AWANI.
Namun beliau turut menjelaskan bahawa terdapat faktor lain untuk menentukan jika benar bungkusan itu milik MH370.
“Pertama sekali, Malaysia Airlines harus mengesahkan jika tuala basah itu berada di dalam pesawat MH370.
“Kemudian ahli saintis kena membuat kajian jika objek berkenaan sepatutnya berada di Thirsty Point berdasarkan maklumat yang pesawat MH370 berakhir di Lautan Hindi dan ditambah dengan faktor pergerakan arus dan ombak," kata beliau.
Tambahnya, jika itu adalah lokasi untuk objek berkenaan berada, pastinya objek-objek yang lain turut akan berada di lokasi yang sama oleh kerana pergerakan arus.
“Setakat ini, hanya satu sahaja objek yang ditemui. Jadi kita perlu membuat lebih banyak kajian,” jelasnya.
Dekan Pusat Pengajian Sains Marin dan Sekitaran Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Dr. Zulfigar Yasin pula berkata beberapa maklumat penting perlu diambil kira.
“Bukti yang tepat adalah bukti yang lebih jelas seperti nombor siri, jenis alatan dan bentuk yang dipakai di MH370. Tanpa bukti yang lebih mendalam, kita belum pasti,” katanya.
Ditanya jika ada perubahan fizikal kepada objek yang ditemui, Dr Zulfigar berkata: “Plastik mengambil masa yang agak lama untuk pereputan berlaku. Kalau bukan 'biodegradable' ia akan mengambil masa dalam lingkungan ratusan tahun untuk ia mereput."
Selain itu, Pengarah Bahagian Teknologi Sinaran, Agensi Nuklear Malaysia Dr Zulkafli Ghazali juga bersetuju bungkusan plastik akan bertahan lebih lama jika ia diperbuat daripada polypropylene (PP) atau polyethylene (PE).
"PP dan PE ini selalunya digunakan untuk membuat bungkusan dan ia tidak akan mengalami proses pereputan. Namun ia boleh diurai apabila terdedah kepada sinaran UV daripada matahari, dengan satu proses yang dikenali sebagai photodegradation,
"Rantaian polimer akan menjadi rapuh dan retak berikutan penguraian molekul polimer. Satu penguraian yang sempurna akan mengambil masa bertahun di bawah satu tekanan tinggi sinaran UV," jelasnya.
Beliau juga berkata air masin tidak akan mempengaruhi proses penguraian plastik namun mikroorganisma akan mempengaruhi dan meningkatkan penguraian plastik.
Sementara itu, Johan Lee dari sebuah syarikat yang membekalkan malim kapal (ahli marin yang khusus untuk mengemudi kapal di kawasan perairan pelabuhan) bersetuju untuk adanya satu siasatan yang menyeluruh.
“Plastik memang boleh tahan lama namun perlu diperiksa teritip, alga dan organisma yang melekat di plastik itu.
“Setiap kawasan mempunyai tumbuhan tersendiri jadi perlu diperiksa tumbuhan itu dari mana,” jelas Johan yang merupakan pengurus pentadbir kepada syarikat Blue Water Pilotage & Tugboats Sdn Bhd.
Tambahnya, terdapat banyak kemungkinan tentang objek itu.
"Saya bukan seorang pakar tetapi apa-apa boleh terjadi. Tuala itu mungkin dibuang dari sebuah kapal yang membawa peralatan Malaysia Airlines. Ia juga mungkin daripada pesawat MH370. Terdapat banyak kemungkinan.
"Namun kita baru jumpa satu tuala, jadi ia mungkin masih kes terpencil,” tambah Johan.
Objek berkenaan dilaporkan dijumpai di pantai Thirsty Point, kira-kira 200 kilometer utara Perth pada 2 Julai 2014.
Biro Keselamatan Pengangkutan Australia dalam satu kenyataan berkata tuala basah bersaiz 6sm x 8sm dalam bungkusan plastik itu dijumpai telah diserahkan kepada pihak Polis Australia Barat.
Pesawat MH370 jenis Boeing 777-200ER dijadualkan mendarat di Beijing pada pukul 6:30 pagi pada 8 Mac tahun lalu.
Jabatan Penerbangan Awam pada 29 Jan mengumumkan penerbangan MH370 secara rasmi diisytiharkan sebagai satu kemalangan di bawah peraturan penerbangan antarabangsa, dan bahawa semua 239 penumpang dan anak kapal telah dianggap telah kehilangan nyawa mereka.
#Dr Mohamed Kamil Abd Rashid #Dr. Zulfigar bin Yasin #Johan Lee #Lautan Hindi #Malaysia Airlines #MH370 #objek #Perth
;