Tidak mudah hapus tol, perlu penelitian menyeluruh - Fadillah
Nickyson Nyambar
Mac 10, 2021 04:17 MYT
Mac 10, 2021 04:17 MYT
KUALA LUMPUR : Tindakan menghapuskan tol lebuh raya di seluruh negara bukan satu keputusan yang mudah, kata Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Begitu pun, sekiranya dapat dilaksanakan, pelbagai perkara perlu diteliti kerana ia akan memberi implikasi yang besar terhadap negara.
Contohnya, kata Fadillah, penghapusan tol akan melibatkan dana, selain faktor penyelenggaraan lebuh raya apabila ia diambil alih oleh kerajaan.
"Kalau kita hapuskan sistem tol, adakah kerajaan mampu untuk menyelenggara jalan? Perkara ini memerlukan dana," katanya ketika ditemu bual dalam program Agenda terbitan Astro AWANI pada Rabu.
Ujarnya lagi, satu kajian juga telah dilaksanakan di bawah KPMG Malaysia untuk melihat sama ada tol di seluruh negara merupakan satu bebanan atau sebaliknya.
"Telah dilakukan satu kajian untuk melihat sama ada perkhidmatan tol sebagai satu bebanan yang perlu dihapuskan atau tidak.
"Tetapi, mengejutkan apabila, dari dapatan kajian, 75 peratus rakyat Malaysia bersedia membayar tol.
"Apa yang tidak memuaskan hati rakyat adalah, apabila tol sudah dibayar, timbul masalah lain pula seperti kesesakan lalu lintas dan sebagainya," jelas beliau.
Oleh sebab itu, katanya, penting untuk meneliti input kajian yang telah dibuat agar semua pihak mempunyai arah tuju yang jelas sebelum melaksanakan sesuatu.
Dalam pada itu, kata Fadillah, kerajaan sentiasa membuka ruang kepada cadangan, khasnya demi penambahbaikan sistem tol negara, termasuk bersama pihak konsesi.
"Kita bekerjasama dengan syarikat konsesi untuk mereka memberi cadangan kepada kerajaan berkaitan penyelesaian, supaya tiada lagi kenaikan tol dari kadar sedia ada.
"Adakah kita mampu melaksanakannya? Kalau tidak, banyak lagi kaedah lain yang dapat kita fikirkan.
"Mungkin (sistem tol) tidak dapat dihapuskan atas faktor dana. Kerana, ia dipercayai akan membebankan kerajaan untuk membayar syarikat konsesi, mengambil alih syarikat konsesi.
"Situasi ini akhirnya akan memberi kesan kepada pelabur," tambahnya dalam sesi temu bual yang sama.
#Datuk Seri Fadillah Yusof
#Sistem tol negara
#Menteri Kanan Kerja Raya
#Agenda Astro AWANI
#lebuhraya
#KPMG