Tidak mudah hantar bantuan kemanusiaan ke Gaza - GPM

Bernama
Oktober 24, 2023 17:05 MYT
GPM berharap koridor kemanusiaan itu akan dapat direalisasikan tidak lama lagi untuk menerbangkan semua bantuan yang dikumpulkan. - AP
KUALA LUMPUR : Badan-badan amal Malaysia telah mengumpul sebanyak 50,000 tan metrik bantuan kemanusiaan yang dianggarkan bernilai kira-kira RM7 juta untuk rakyat Palestin di Gaza yang menghadapi kesukaran bekalan asas seperti air, makanan dan perubatan.
Namun untuk menyalurkan bantuan tersebut, bukanlah perkara mudah.
Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata penubuhan koridor kemanusiaan untuk membantu dan memberikan bantuan kepada penduduk Palestin masih berlaku.
"Hanya RM200,000 (nilai barangan) telah diagihkan oleh pasukan kami di lapangan dalam tempoh dua minggu lepas.
"(Jika tidak,) tiada sumbangan, tiada dana diterima (oleh rakyat Palestin). Tiada apa yang boleh dilalui. Sehingga kini, kami menunggu, cuba membantu," katanya menyifatkan jumlah bantuan yang diberikan setakat umpama setitis air daripada lautan yang luas.
Bagaimanapun, beliau tetap berharap koridor kemanusiaan itu akan dapat direalisasikan tidak lama lagi dan memaklumkan mereka akan menerbangkan semua sumbangan berkenaan sebaik sahaja mendapat lampu hijau.
Dilaporkan satu resolusi menyeru "jeda kemanusiaan," yang akan membenarkan koridor kemanusiaan ke Semenanjung Gaza, jeda dalam pertempuran dan penarikan arahan supaya orang awam meninggalkan kawasan utara kawasan yang disekat, tidak dipersetujui Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, pada 18 Okt.
Sebanyak 12 daripada 15 negara mengundi menyokong resolusi itu, tetapi Amerika Syarikat menggunakan kuasa Veto untuk menyekat resolusi itu.
Ahmad Fahmi juga berkata sekurang-kurangnya 40 badan amal akan mengadakan perhimpunan solidariti untuk Palestin malam ini bertempat di Axiata di Bukit Jalil bermula 6.30 petang - dianjurkan bersama GPM, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Malaysian Humanitarian Aid and Relief.
Beliau berkata perhimpunan itu adalah kesinambungan daripada kempen #OpsIhsan, dengan 40 badan amal berkumpul untuk mengutip derma untuk rakyat Palestin di Gaza, dan bersatu dalam menyokong rakyat Palestin di luar dan dalam Malaysia.
"Tujuan utama adalah untuk menunjukkan solidariti. Kedua, sudah tiba masanya untuk kita memainkan peranan yang lebih besar dalam isu ini dan bukannya hanya memerhati atau berada di pinggiran," katanya.
Sementara itu, Ahmad Fahmi ketika ditemu bual dalam program Selamat Pagi Malaysia di TV1 hari ini berkata Himpunan Malaysia Bersama Palestin itu adalah antara inisiatif rakan-rakan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menunjukkan solidariti kepada rakyat Palestin, selain mengumpul barangan keperluan dan kemanusian.
"Kita akan bersama-sama menunaikan solat maghrib, solat hajat serta bermunajat dan selepas itu akan dimulai dengan beberapa pidato daripada kepimpinan aktivis NGO yang terlibat. Kita menjemput semua dari pelbagai latar belakang politik, agama dan kaum," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat khas pada perhimpunan itu.
-- BERNAMA
#bantuan kemanusiaan #Palestin #Gaza #penghantaran bantuan
;