Tidak minat kerja pembersihan: Stigma, imej jadi penyebab - Datuk Bandar Ipoh
Aida Aziz
Julai 22, 2022 10:00 MYT
Julai 22, 2022 10:00 MYT
IPOH: Isu kekurangan pekerja dalam sektor pembersihan banyak berhubung kait dengan tanggapan imej pekerjaan tersebut dalam kalangan rakyat tempatan, kata Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin.
Ini ditambah pula dengan faktor persaingan daripada pekerjaan lain seperti sektor perkilangan serta penghantaran makanan.
Rumaizi berkata, walaupun sudah ada penambahbaikan daripada sudut gaji dan imbuhan, namun masih ramai yang kurang berminat untuk menceburi bidang pekerjaan tersebut.
"Nak kata tidak berbaloi (gaji), kita sudah ada banyak peningkatan. Gaji asas yang diberikan difahamkan RM1,700 kerana sekarang gaji minimum RM1,500.
"Masalah sekarang bukan sekadar gaji, ia disebabkan imej. Kalau orang tempatan, ada yang malu (kerja sektor pembersihan). Itu masalah kita orang tempatan.
"Kita belum ada lagi kesedaran kerja sektor 3D iaitu dirty, difficult and dangerous (kotor, sukar dan bahaya), mereka masih susah nak terima," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis penyampaian sumbangan komputer daripada Theta Edge Berhad, dengan kerjasama MBI, kepada pusat komuniti, di Dewan Azlan Shah di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Theta Edge Bhd Nuraslina Zainal Abidin, Pengarah Negeri Tabung Haji Perak Mohamad Abas dan Ahli-Ahli Majlis MBI.
Mengulas lanjut berhubung isu kutipan sampah yang lewat di beberapa kawasan di Ipoh sebelum ini, Rumaizi berkata kekurangan pekerja antara punca mengapa perkara itu berlaku.
Katanya lagi, masalah kekurangan pekerja pembersihan bermula apabila ramai yang bertukar bidang pekerjaan di sektor pembinaan.
"Masalah kita bukan disebabkan peralatan sangat tetapi sebab pekerja pembersihan tiada.
"Kebanyakan konsesi kita ini iaitu pekerja kutip sampah, mereka merupakan pekerja asing.
"Selepas Hari Raya Aidilfitri, ketika itu harga buah sawit tinggi, jadi ramai pekerja pembinaan lari ke sektor perladangan.
"Manakala sektor pembinaan pula 'curi' pekerja perkhidmatan bandar kita. Itu sebab pekerja kurang," katanya.
Jelasnya lagi, antara penyelesaian jangka pendek yang diambil untuk mengatasi isu tersebut adalah dengan mengupah pekerja tempatan secara kontrak.
"Kita ada ambil (pekerja tempatan) tapi tidak mencukupi, ada setengah itu kita minta mereka kerja shift. Bekalan pekerja asing pun tiada sebab ia merupakan isu nasional.
"Bagaimanapun, kita terpaksa kurangkan kekerapan kutipan sampah. Biasanya tiga kali seminggu, mungkin sesetengah tempat itu kita kurangkan kepada dua kali seminggu.
"Bagi saya masa sebulan untuk selesaikannya," katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, pengoperasian dua buah lori sampah compactor baharu bukan sahaja melancarkan lagi operasi kutipan, malah dapat meningkatkan imej Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Rumaizi berkata, ini kerana kebanyakan lori compactor sedia ada dalam keadaan uzur dan tidak kompetitif untuk dioperasikan.