Tidak masuk akal idea mansuh biasiswa pelajar minoriti - MCA
Shafiq Noordin
Januari 14, 2018 19:51 MYT
Januari 14, 2018 19:51 MYT
MCA hari ini mengutuk sekeras-kerasnya cadangan memansuhkan biasiswa kepada pelajar dari kaum minoriti di negara ini seperti dikemukakan bekas timbalan ketua pengarah pendidikan Datuk Abdul Raof Husin.
Presidennya Datuk Seri Liow Tiong Lai menyifatkan cadangan itu sebagai tidak masuk akal sama sekali untuk diterima.
Katanya, MCA berpendirian, tidak sepatutnya mana-mana pelajar dianaktirikan oleh kerajaan dalam mendapatkan jaminan pembiayaan biasiswa sepertimana yang diterima selama ini.
“Kita kena pastikan bahawa pendidikan itu mempunyai tempat yang tinggi dalam negara kita.
"Mana-mana pihak yang hendak memecah-belahkan pendidikan dan juga cuba nak gunakan isu pendidikan untuk memecah-belahkan rakyat, kita kecam habis-habisan.
"Dan kita mengutuk apa jua taktik yang digunakan,” katanya sambil menambah, cadangan itu jika dilaksanakan boleh merosakan keharmonian yang dikecapi sekarang.
Bercakap kepada pemberita pada majlis makan tengah hari bersama badan bukan kerajaan (NGO) di sini, Liow berkata, sebagai seorang bekas guru, Abdul Raof tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan tersebut.
Baru-baru ini, Abdul Raof dilaporkan telah memberi cadangan kepada kerajaan untuk menamatkan biasiswa persekutuan bagi pelajar minoriti di negara ini.