Tidak mampu baiki rumah, 7 beranak berteduh di rumah usang
Muhafandi Muhamad
September 7, 2021 08:47 MYT
September 7, 2021 08:47 MYT
GUA MUSANG: Kemiskinan menyebabkan tujuh beranak di Kampung Star Baru, Gua Musang, Kelantan terpaksa tinggal di sebuah rumah kayu usang reput dan hampir roboh kerana tidak mampu membaikinya sejak 17 tahun lalu.
Rumah pusaka itu juga tidak mempunyai kemudahan air paip dan mereka terpaksa menggunakan air parit untuk mandi serta mencuci pinggan mangkuk.
Menurut Rosmina Awang, 38, dia bekerja sebagai pembantu kedai bagi menyara lima anaknya berusia antara 8 sehingga 17 tahun.
Katanya, suaminya Sabri Ismail, 48, hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan dengan gaji RM1,200 sebulan.
Jumlah gaji itu hanya cukup digunakan untuk makan dan minum keluarga mereka.
"Nak baiki rumah ini saya tidak mampu. Kami terpaksalah hidup dalam rumah ini dengan keadaan lantai reput.
"Rumah ini tiada bilik, bilik air pun tiada. Kami cuma mandi di sungai di belakang rumah," katanya.
Prihatin dengan nasib keluarga Rosmina, Kelab Kebajikan Wanita (KEKWA) Gua Musang bersama Pertubuhan Muslim Sejahtera Malaysia (MUSZLEEM) akan membantu membina sebuah rumah untuk keluarga itu.
Pengerusi KEKWA, Mimi Hafizah Mohamed berkata masalah yang dihadapi keluarga ini bukan sahaja meliputi kekurangan wang, tetapi status tanah rumah yang didiami itu tidak sah.
"Jadi isu rumah yang sangat daif ini adalah kerana status tanah yang diduduki, sebab mengikut SOP atau prosedur kerajaan, sebarang baik pulih rumah atau pembinaan rumah baharu perlulah di atas tanah yang mempunyai status yang sah.
"Jadi itulah yang dihadapi keluarga ni. Walaupun berpuluh tahun tanah ini dimiliki oleh arwah bapanya dan sekarang diwarisi keluarga Sabri ini, mereka menghadapi masalah bila ingin mendapatkan bantuan dari segi baik pulih rumah atau pembinaan rumah baharu," katanya.
Menurut wakil MUSZLEEM Gua Musang, Faridah Mohamed, sebuah rumah akan dibina untuk keluarga ini supaya mereka dapat hidup dengan selesa.
"Kebetulan kami tengok ada rumah macam ini jadi sudah merujuk perkara ini kepada Pengerusi Muszleem Sejahtera Malaysia dan dia bermurah hati untuk membina sebuah rumah untuk mereka tinggal dalam keadaan selesa.
"Dia ada anak perempuan remaja. Anak lelaki remaja dengan keadaan tak ada bilik. Saya lepas balik memang menangis, saya nekad dalam diri saya akan usahakan sebuah rumah bagi mereka ini," katanya.