JOHOR BAHRU:Gara-gara tidak mahu menjalani tempoh kuarantin 14 hari di Singapura, seorang lelaki warga republik itu ditahan kerana merasuah dengan nilai RM100 seorang pegawai Penguatkuasa Imigresen.

Menurut sumber, suspek merupakan lelaki berusia 43 tahun, yang bertugas sebagai pengarah di sebuah syarikat swasta, ditahan kira-kira jam 3.50 petang semalam di Pejabat SPRM Johor bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai telah memberi wang rasuah kepada pegawai penguatkuasa imigresen sebanyak RM100.

Ia sebagai balasan membenarkan dia memasuki Malaysia semula menggunakan Program Laluan Hijau Timbal Balik (RGL), tanpa perlu melalui tempoh kuarantin selama 14 hari di Singapura, seperti yang ditetapkan dalam program itu.

Program RGL membolehkan perjalanan rentas sempadan untuk perniagaan penting dan tujuan rasmi bagi kedua-dua negara.

Kes disiasat di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda 5 kali nilai suapan atau RM10,000 mana yang tinggi dan penjara tidak melebihi 20 tahun.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.