Tidak mahir MySejahtera punca warga emas di Kelantan gagal hadir janji temu vaksin

Bernama
Mei 25, 2021 20:46 MYT
Dr Zaini berkata majoriti warga emas terlibat memberi maklum balas tidak sedar sudah menerima notifikasi tarikh janji temu melalui MySejahtera. - Gambar fail/ Bernama
KOTA BHARU: Tidak mahir menggunakan aplikasi MySejahtera menjadi punca kebanyakan warga emas di negeri ini tidak hadir janji temu untuk menerima suntikan vaksin bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan peringkat Kelantan.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) Datuk Dr Zaini Husin berkata majoriti warga emas terlibat memberi maklum balas tidak sedar sudah menerima notifikasi tarikh janji temu yang ditetapkan serta tidak pandai memeriksa pemakluman itu melalui aplikasi berkenaan.
"Ada juga yang tiada MySejahtera sekali gus tidak menerima pemakluman tarikh janji temu (TCA) suntikan vaksin, malah turut memberi maklum balas bahawa notifikasi diterima lewat bukannya 14 atau tujuh hari sebelum TCA.
"Selain itu, golongan warga emas ini ramai yang bergantung kepada anak-anak mereka dan apabila lewat terima notifikasi maka anak-anak mereka sukar hendak mengambil cuti atau pelepasan untuk hantar ibu bapa pada tarikh janji temu itu. Ada yang turut terlupa TCA," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya, di sini hari ini.
Dr Zaini berkata demikian ketika diminta mengulas hampir 10,000 individu di Kelantan tidak hadir pada janji temu yang ditetapkan untuk menerima suntikan vaksin selepas mendaftar bagi fasa kedua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.
Dr Zaini menjelaskan kebanyakan mereka ini tidak menolak vaksin tetapi hanya sekadar menunda TCA atas faktor kesihatan atau urusan penting yang tidak dapat dielakkan, bagaimanapun pihaknya memohon agar mereka memaklumkan perkara itu lebih awal kepada JKNK.
"Maklumkan awal sama ada menerusi hotline MySejahtera atau bilik gerakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) supaya kita dapat membuat perancangan untuk gantikan mereka dengan individu kategori sama (warga emas atau berisiko tinggi) bagi memastikan tidak berlaku pembaziran dos vaksin ini," katanya.
Bagaimanapun, beliau turut mengakui ada antara maklum balas yang diterima berkaitan ketidakhadiran itu juga kerana segelintir warga emas belum bersedia menerima suntikan vaksin malah tidak diizinkan anak-anak mereka berikutan dipengaruhi berita palsu yang tular di media sosial.
Mengenai langkah JKNK dalam menyelesaikan isu ketidakhadiran itu, Dr Zaini berkata pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk menambah beberapa lagi PPV di kawasan-kawasan tertentu serta meluaskan lagi program kesedaran mengenai vaksin COVID-19 di seluruh Kelantan.
"Setakat ini, sebanyak 19 PPV sudah kita cadang yang akan dibuka dari semasa ke semasa dan mungkin kita akan menambah lagi beberapa PPV sama ada secara bergerak atau statik, perkara itu akan dibincangkan," katanya.
Sementara itu, ditanya sama ada jangkitan COVID-19 secara harian di Kelantan akan mencecah empat angka, beliau menjangkakan kes harian di negeri ini akan mencatatkan jumlah 450 hingga 600 dalam tempoh dua minggu ini.
"Adanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) termasuk beberapa PKP Diperketatkan di Kelantan, malah dengan prosedur operasi standard (SOP) yang diperketatkan bermula hari ini, maka kita tidak jangka ia boleh capai empat angka tetapi pada tiga angka sahaja. Namun, ia boleh melepasi 600 kes jika penduduk tidak praktikkan SOP yang ditetapkan," katanya.
-- BERNAMA
#Kelantan #MySejahtera #janji temu #gagal hadir #warga emas #Zaini Husin #JKNK
;