Tidak logik Pulau Pinang tidak dibenar beralih ke Fasa 2 PPN - Guan Eng

Faris Danial Razi
Julai 4, 2021 21:13 MYT
Guan Eng turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk desentralisasi dengan membenarkan kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk memutuskan apa pendekatan terbaik mengenai sekatan PKP di kawasan masing-masing. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan yang mengecualikan Pulau Pinang untuk beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang 5 Julai ini.
Beliau dalam satu kenyataan di Twitter pada Ahad menyifatkan keputusan itu sebagai tidak logik kerana negeri itu menunjukkan prestasi lebih baik daripada nilai ambang yang ditetapkan berbanding negeri Pahang.
Katanya, tiada sebarang bantahan untuk Pahang dibenarkan beralih kepada Fasa 2, tetapi isu kontroversi adalah mengapa Pulau Pinang tidak termasuk sekali.
"Sebagai contoh, pada 3 Julai, P.Pinang tidak mencatatkan sebarang kematian berbanding lima kematian di Pahang.
"Selain itu, Pulau Pinang mencatatkan 142 kes baharu berbanding 200 kes di Pahang, dan nombor kadar jangkitan COVID-19 (R0 atau R-naught) bagi Pulau Pinang adalah 1.02 berbanding 1.24 di Pahang.
"Pada 3 Julai, kadar vaksinasi untuk Pulau Pinang adalah 10.1 peratus berbanding dengan 12.2 peratus penduduk dewasa di Pahang, yang melebihi ambang 10 peratus untuk Tahap 2.

Berdasarkan sains & data, adalah x logik bagi P.Pinang utk x beralih ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) pd 5 Julai. Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob & Menteri Kewangan Tengku Zafrul mesti menjelaskan mengapa P.Pinang dikecualikan dari Fasa 2 PPN (1/4) pic.twitter.com/Yxx65w6rHs

— Lim Guan Eng (@guanenglim) July 4, 2021
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Beliau yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang turut menjelaskan, kerajaan Perikatan Nasional harus mengakui bahawa pendekatan berpusat gagal membawa hasil yang diinginkan dan harus memberi peluang kepada kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk menguruskan COVID-19 di kawasan masing-masing.
"Empat fasa PPN nampaknya mengenepikan negeri dengan kes jangkitan harian yang rendah.
"Tidak ada alasan untuk negeri-negeri ini dihukum sama seperti negeri lain yang mempunyai jangkitan harian yang lebih tinggi," jelasnya.
BACA: 4 fasa Pelan Pemulihan Negara, 3 indikator utama jadi panduan
BACA: Lima negeri memasuki Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara 5 Julai ini
Terdahulu, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan lima negeri iaitu Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan akan beralih ke Fasa 2 PPN menjelang 5 Julai.
Ini kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu – kes harian COVID-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.
Guan Eng turut menegaskan bahawa sudah tiba masanya untuk desentralisasi dengan membenarkan kerajaan negeri dan Ahli Parlimen untuk memutuskan apa pendekatan terbaik mengenai sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau waktu operasi perniagaan di kawasan masing-masing.
"Ini akan mendorong akauntabiliti dan ketelusan berbanding formula satu ukuran sesuai untuk semua yang menghukum tingkah laku baik dan buruk secara pukul rata.
"Marilah kita memberi ganjaran kepada mereka yang mematuhi SOP COVID-19," ujarnya lagi.
#Lim Guan Eng #ismail sabri yaakob #unit rawatan rapi #pulau pinang #R-Naught #PKP #COVID-19 #SOP #Pahang #jangkitan #Twitter #DAP #ICU
;