Tidak letak tanda harga kesalahan tertinggi dilakukan peniaga di Negeri Sembilan

Bernama
April 17, 2023 16:55 MYT
Muhammad Zahir berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan atau kekurangan bekalan di negeri ini. - Gambar fail/ Bernama
SEREMBAN: Gagal meletakkan tanda harga adalah antara kesalahan tertinggi yang direkodkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Sembilan sejak awal Januari.
Pengarahnya, Muhammad Zahir Mazlan berkata lebih 100 kompaun dikenakan kepada peniaga berjumlah keseluruhan RM16,400.
"Sehingga hari ini, kes tertinggi dicatatkan ialah pelabelan tanda harga, bagi para peniaga yang tidak meletakkan tanda harga, kompaun RM200 dikenakan serta-merta," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian selepas pelancaran Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2023 Peringkat Negeri Sembilan di Pasar Raya Mydin Seremban 2 yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri S. Veerapan.
Muhammad Zahir berkata setakat ini pihaknya tidak menerima aduan mengenai kenaikan harga barangan atau kekurangan bekalan di negeri ini.
Beliau berkata menerusi pemantauan dan pemeriksaan Op Pantau 2023 di 3,677 premis meliputi pemborong, peruncit, pasar raya, pasar awam dan pasar tani mendapati bekalan barangan keperluan asas mencukupi di semua peringkat rantaian perniagaan sepanjang tempoh Ramadan ini.
Katanya kerjasama dengan pemborong dan pengeluar dipertingkat bagi membantu mana-mana peruncit yang mengalami masalah bekalan terutamanya dalam menyambut perayaan Aidilfitri tidak lama lagi.
-- BERNAMA
#kpdn #Op Pantau #SHMMP #keperluan asas
;