Tidak lagi guna logo BN bukan masalah buat GPS - Penganalisis
Israr Khalid
November 27, 2021 09:27 MYT
November 27, 2021 09:27 MYT
KUALA LUMPUR: Tiada masalah buat Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk tidak lagi menggunakan logo Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, kata Dr Arnold Puyok.
Menurut pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) ini, pengundi Sarawak tidak taksub kepada logo tetapi melihat kepada individu yang mampu berkhidmat.
“Bagi saya, logo atau jenama ini tak penting. Sebab, politik Sarawak ini bersifat personalistik, seperti juga politik di Sabah, pengundi lebih melihat kepada calon.
“Contohnya baru-baru ini, apabila kita turun ke rumah panjang, kita bertanya kepada para pengundi di situ, mereka mengatakan mereka akan memilih calon yang mampu 'deliver'.
“Jadi, tidak kiralah calon dari parti mana, kalau dia boleh deliver, boleh berikan apa yang diperlukan penduduk, maka dia akan dipilih,” kata pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian UNIMAS ini.
Malah, katanya, rakyat Sarawak juga sudah dibiasakan dengan logo baharu GPS yang mula giat diguna pakai dan dipromosi sejak setahun dua yang lalu.
“Banyak risalah yang sudah diedarkan, saya ingat kalau kita ke luar bandar pun ramai yang sudah mengenali logo atau lambang GPS ini,” tambahnya.
GPS terdiri daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Sarawak (PRS), Parti Demokratik Progresif (PDP) dan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP).
Ia dibentuk susulan kekalahan BN pada pilihan raya umum ke-14 pada 2018.
Tonton temu bual penuh Arnold dalam program Agenda AWANI bersama hos Nazri Kahar, di sini: