Tidak kompromi isu kekejaman terhadap haiwan - Felda
Bernama
Oktober 7, 2019 17:44 MYT
Oktober 7, 2019 17:44 MYT
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) mengesahkan seorang pegawai dan dua penerokanya antara enam suspek ditahan polis berhubung insiden pembunuhan kejam seekor gajah Pygmy Borneo di Tawau, Sabah, dua minggu lalu.
Felda, dalam kenyataan hari ini, menegaskan pihaknya sama sekali tidak berkompromi dengan sebarang bentuk kekejaman terhadap haiwan dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya kakitangan dan peneroka berkenaan didapati bersalah dalam insiden itu.
"Pihak pengurusan Felda kini bekerjasama rapat dengan pihak polis dalam membantu siasatan yang masih lagi berjalan.
"Kami ingin menegaskan perbuatan membunuh haiwan berkenaan adalah sama sekali bertentangan dengan Dasar Perlindungan dan Penjagaan Alam Sekitar yang merupakan sebahagian daripada 15 polisi Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) yang menjadi amalan Felda," menurut kenyataan tersebut.
Menurutnya, pihak pengurusan Felda juga melaksanakan amalan prosedur operasi standard (SOP) dalam aspek kawalan hidupan liar termasuk gajah yang sering berlaku di kawasan Felda, dengan menggunakan pagar elektrik dan parit gajah serta amalan pemindahan gajah jika diperlukan tanpa mengancam nyawa hidupan liar itu.
"Felda juga secara aktif menjalin kerjasama dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar (Perhilitan) dalam menyediakan latihan dan seminar kepada petugas untuk meningkatkan kemahiran dan kesiagaan dalam menangani ancaman hidupan liar di ladang.
"Kami sentiasa mematuhi semua garis panduan dan undang-undang berkaitan pemeliharaan alam sekitar sebagi manifestasi komitmen Felda dalam memastikan aspek pengurusan ladang dilaksanakan secara lestari," menurut kenyataan itu.
Katanya, perkara itu dapat dibuktikan apabila 163 Rancangan Felda telah berjaya mendapat pensijilan MSPO setelah memenuhi aspek akreditasinya termasuk pematuhan polisi berkaitan kelestarian alam sekitar.
Pada 26 Sept lepas, sekumpulan pemancing menemukan bangkai gajah pygmy di Sungai Udin, Dumpas di Kalabakan, dekat Tawau, dan dipercayai mati antara tiga hingga empat hari.
Gajah betina dianggarkan berusia antara 11 hingga 12 tahun dengan ketinggian 1.8 meter itu ditemui dalam keadaan terduduk berhampiran tebing sungai dan pemeriksaan awal pasukan Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mengesan luka di bahagian pipi, kepala, badan dan punggung gajah berkenaan, akibat tembakan senjata api.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Tawau hari ini membenarkan permohonan pihak polis untuk menyambung reman untuk dua hari lagi terhadap enam suspek berkenaan selepas tempoh reman empat hari sebelum ini berakhir hari ini.
-- BERNAMA