Tidak kisah dilabel 'Menteri Tandas', janji khidmat berkualiti - Nga Kor Ming

Israr Khalid
Januari 17, 2023 23:48 MYT
Kualiti perkhidmatan awam menjadi fokus utama KPKT di bawah pimpinan Kor Ming. - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming menyatakan komitmennya untuk memastikan kualiti perkhidmatan asas dipertingkatkan ke tahap yang terbaik.
Khususnya kebersihan tandas awam, yang mana katanya ia adalah adalah cerminan kemajuan sesebuah negara.
Kata Kor Ming, tandas awam terutamanya di kawasan destinasi pelancongan dan pintu masuk negara adalah imej awal Malaysia yang diberikan kepada orang luar yang datang ke sini.
“Oleh kerana itu kita akan perkenalkan anugerah “Toilet of the Year” untuk pastikan tandas awam negara kita menuju ke arah B.M.W. (Bersih, Menawan, Wangi).
“Saya tak kisah orang mungkin panggil saya ‘Menteri Tandas’ tapi yang penting saya dapat selesaikan isu yang dekat di hati rakyat,” katanya dalam program Agenda AWANI pada Selasa.
Pada masa sama, maklum Kor Ming, beliau juga akan memastikan adanya jalan raya yang rata, lampu jalan yang terang, longkang yang bersih dan SOP serta garis panduan yang tidak membebankan rakyat.
Atas komitmen itu, Kor Ming sendiri bukan sahaja kerap turun padang, malah telah mengarahkan Datuk Bandar dan Yang di-Pertua Daerah seluruh negara wajib berbuat demikian setiap minggu untuk benar-benar menyampaikan khidmat yang diharapkan oleh rakyat.
Tidak kisah label ‘Menteri Tandas’, janji khidmat berkualiti - Nga Kor Ming
#Agenda Awani #KPKT #menteri tandas #Nga Kor Ming
;