Tidak hirau COVID-19, penunjuk perasaan di AS lebih utamakan isu perkauman

Faris Danial Razi
Jun 6, 2020 06:30 MYT
Farah sangat bimbang dengan perkembangan terkini di AS berkaitan tunjuk perasaan yang diadakan tanpa menghiraukan bahaya penyebaran COVID-19. - Astro AWANI
KEJADIAN protes di beberapa bandar besar di Amerika Syarikat (AS), susulan bantahan terhadap kes kematian George Floyd, bukan sahaja melanggar arahan perintah berkurung, malah bertentangan dengan langkah penjarakan sosial.
Bagi rakyat Malaysia yang bekerja dan menetap di Philadelphia, Farah Fauzi, perkara itu dilihat sangat membimbangkan kerana kebanyakan penunjuk perasaan tidak mengendahkan tentang bahayanya penyebaran COVID-19.
"Berdasarkan apa yang saya lihat, di media dan juga apa yang saya lihat di bandar ini sendiri, ada di antara mereka yang memakai topeng muka tetapi ada juga yang tidak.
"Kemudian, mereka juga dilihat berhimpun bersama beramai-ramai pada satu masa. Pelik juga, kerana, sekarang berita mengenai COVID-19 tidak dilihat sebagai isu besar.
"Tumpuan hanya diberikan kepada tunjuk perasaan dan rusuhan yang sedang berlaku. Dan ia menakutkan. Kerana, mereka seperti lupa bahawa kita masih dalam tempoh kuarantin dan COVID-19 masih berlaku.
"Pandangan saya mengenai cara pihak berkuasa menangani masalah ini, pada saya, ia perasaan yang bercampur-campur, berdasarkan apa yang saya dapat lihat di media sosial dan melalui berita," jelas Farah sewaktu dihubungi Astro AWANI pada Sabtu.
BACA: Protes kematian George Floyd belum berakhir
BACA: Bandar-bandar utama di AS berdepan bantahan ganas
Dengan kes COVID-19 yang semakin hampir mencecah dua juta di AS, ditambah pula dengan protes beberapa hari kebelakangan ini berkaitan kes warga kulit hitam yang mati dalam tahanan polis pada 25 Mei lalu, ia jelas menambah kerisauan Farah.
BACA: Tiada laporan rakyat Malaysia terlibat atau cedera akibat rusuhan di AS
BACA: COVID-19: Jumlah kes positif global kini lebih 6.58 juta
Semuanya dilihat bagaikan tiada kesudahan, kata Farah.
“Saya benar-benar tidak tahu apa rancangan saya sekarang, semestinya saya risau tentang masa depan saya di Amerika.
“Ini kerana, pastinya, tempoh yang tidak menentu ini bukan hanya untuk saya, tetapi untuk semua orang di seluruh dunia, dari segi menangani COVID-19 dan masa depan.
“Apa yang boleh saya katakan ialah, saya hanya mampu mengharapkan yang terbaik dan semoga semua ini akan segera berakhir.
"Kita tidak tahu sampai bila, tetapi mari sama-sama kita mendoakan yang terbaik untuk semua orang," tambah Farah.
BACA: Kematian George Floyd: 4 bekas anggota polis bakal didakwa atas tuduhan bunuh
BACA: PM Kanada berlutut tanda solidariti buat George Floyd
#Amerika Syarikat #AS #COVID-19 #George Floyd #koronavirus #Malaysia #penjarakan sosial #perhimpunan #perintah berkurung #Philadelphia #protes #rakyat #rakyat Malaysia #rusuhan #topeng #tunjuk perasaan
;