Tidak guna cakap berdegar jika kalah sokongan undi - Khairul Azam

Wan Syamsul Amly
Mac 15, 2015 16:37 MYT
KHAITUL AZAM: AGM Majlis Peguam: Tidak guna cakap berdegar jika kalah sokongan undi - Gambar fail
'Gerakan' dalam Majlis Peguam dilihat perlu menambah sokongan dan melipatgandakan usaha untuk membawa lebih ramai peguam untuk hadir ke Perhimpunan Agung Tahunan (AGM) akan datang jika mahu suara majoriti mereka didengar.
Peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata, tanpa bilangan undi yang cukup, apa sahaja yang dilakukan tidak akan diterima sesiapa sahaja.
"Tanpa bilangan undi yang cukup, ia seolah-olah tidak memberi apa sahaja makna. Kita cakap berdegar pun tidak guna jika akhirnya kalah dari segi bilangan undi.
"Kita tidak ada bilangan yang mencukupi dan tewas dari segi peraturan demokrasinya.
"Jadi ini menunjukkan gerakan peguam perlu kehadiran yang lebih ke perhimpunan akan datang supaya dapat memberi lebih undi kepada calon tertentu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Azam mengulas pelantikan Steven Thiru sebagai Presiden Majlis Peguam yang baharu menggantikan penyandangnya Christopher Leong.
Steven yang sebelum ini memegang jawatan Naib Presiden telah dipilih dalam mesyuarat majlis itu selepas Perhimpunan Agung Tahunan Badan Peguam yang ke-69 pada Sabtu.
Naib Presiden baharu pula disandang oleh George Varughese.
Kata Khairul Azam lagi, walaupun suara yang mahukan perubahan terlalu luat di luar, namun ia dilihat hambar apabila melihat kehadiran peguam berkenaan ke perhimpunan.
"Kita mampu berhujah dengan baik, bawa usul berkenaan namun dari segi demokrasinya bilangan sokongan masih belum mencukupi.
"Di luar nampak kuat namun realitinya yang hadir adalah sekitar 161 sehingga 200 orang sahaja.
"Ia melibatkan isu bagaimana peguam di negara ini tidak kira bangsa atau pegangan politik selesa atau tidak selesa dengan pendirian yang diambil Majlis Peguam terhadap sesuatu isu," jelasnya.
Khairul Azam sebelum ini pernah menasihatkan bekas Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong untuk mengadakan perjumpaan tertutup bersama Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria seandainya terus mempertikaikan keputusan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Tegas Khairul Azam, Christoper juga disifatkan sudah tersasar dari etika guaman selain tindakannya itu turut dipertikai.
#christoper #khairul azam #Majlis Peguam #Steven Thiru
;