Tidak disangka kerana asam pedas, berjaya bantu kepulangan 132 bakal doktor Malaysia dari Rusia
Dr Azlinariah Abdullah
Julai 19, 2020 14:43 MYT
Julai 19, 2020 14:43 MYT
Semuanya bermula dengan kerinduan untuk menjamah hidangan asam pedas Melaka. Berada beribu-ribu kilometer jauhnya dari tanah air dan belajar di bumi Kremlin, yang mencatatkan kes positif COVID-19 sehingga 10,000 setiap hari menjadikan seorang bakal doktor, Katrina Nur Maria Nor Azman, 23, cemas, selebihnya bimbang tentang keselamatannya.
Bagaimanapun, berada di Rusia, negara bukan Islam, menikmati makanan halal dan asli Malaysia pula cukup payah. Kesusahan ini menambahkan selera Katrina Nur Maria kepada asam pedas Melaka, seperti tidak boleh ditahan-tahan lagi.
Asalnya, Katrina Nur Maria, penuntut jurusan Perubatan Tahun 5 di Kursk State Medical University (KSMU) dijadual pulang ke Malaysia akhir Jun lalu, tetapi penerbangannya dibatalkan kerana peraturan pihak berkuasa Rusia yang tidak membenarkan pesawat asing mendarat di lapangan terbang mereka.
Maka, dia terlepas peluang untuk menghirup kuah asam pedas Melaka yang amat dihajatinya. Sekali lagi tiket penerbangan pesawat komersial dibelinya pada awal Jun, dibatalkan atas sebab sama. Dua kali Katrina Nur Maria perlu melupakan ssam pedas Melaka kegemarannya.
Hanya selepas keinginan yang amat sangat mahu menikmati asam pedas disuarakan kepada rakannya, ia tersebar dengan pantas, kemudian secara tidak langsung bermulanya gerakan usaha penghantaran pulang secara bersama Kedutaan Malaysia di Moscow, masyarakat dan syarikat pelancongan sehingga akhirnya berjaya membawa pulang 132 pelajar perubatan dari pelbagai universiti di Rusia pada Ahad, 19 Julai 2020.
"Mengikut jadual asal, penerbangan bawa pulang mereka semua adalah pada 9 Julai tetapi tidak dijayakan kerana beberapa sebab. Asalnya juga, misi membawa pulang pelajar dan warga Malaysia dari Rusia ini dicetuskan kerana mahu merealisasikan keinginan seorang bakal doktor yang begitu teringin menikmati Asam Pedas Melaka, tetapi ia bertukar menjadi gerakan bersepadu pelbagai pihak yang mengusahakan pula supaya penerbangan pulang mereka (pelajar dari Rusia) berjaya direalisasikan.
"Tidak pernah dilihat bagaimana misi yang pada awalnya, bermatlamat "remeh" tetapi boleh berjaya dan membawa pula kepada kepulangan rakan-rakannya yang lain, yang tentunya ada keinginan untuk menjamah hidangan kegemaran masing-masing,'' kata ibu Katrina Nur Maria, Faiza Mohammed Asari, 49.
Kata Faiza, anaknya itu sendiri yang mencari peluang dan berusaha menggerakkan kempen mendapatkan jumlah pelajar di pelbagai universiti di Rusia, yang mahu pulang ke tanah air menyertai pesawat yang dirancang.
"Semuanya diusahakan sendiri Katrina Nur Maria, tidak berbayar. Bermula mendapatkan pihak bertanggungjawab iaitu Lavender Travel & Tours, berhubung dengan kedutaan, bekerjasama dengan persatuan pelajar di universiti dan berunding untuk bayaran tambang lebih murah demi pelajar yang mahu pulang tetapi kurang berkemampuan.
"Ini semua asalnya kerana Asam Pedas Melaka,'' kata Faiza.
Sementara itu, Katrina Nur Maria pula berkata, misi penghantaran balik pelajar dari Rusia dan warga Malaysia di negara itu bukan mudah untuk dijayakan.
Pelajar berasal dari Melaka ini mengakui ia berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya apabila peraturan di Rusia tidak mengizinkan pesawat asing masuk ke sempadannya disebabkan penularan COVID-19.
"Saya memang penggemar Asam Pedas Melaka, apa lagi kalau air tangan ibu saya. Semasa dua kali tiket penerbangan dibatalkan, saya sedikit kecewa, yang terlintas di kepala saya ialah amat rugi tidak dapat menikmati Asam Pedas Melaka dan juga ayam goreng kegemaran. Bunyinya agak lucu, tetapi itu yang saya rasakan ketika itu. Walaupun dengan kesibukan menjalani peperiksaan dan ujian hampir setiap hari, ia tidak mengurangkan rasa teringin saya kepada Asam Pedas, mungkin kerana saya berada di Rusia, yang sukar mendapatkan makanan rasa asli sesuai dengan selera.
"Kerana itu, saya berusaha juga walaupun tahu ia sukar, untuk pulang ke Malaysia dan tidak melepaskan peluang menikmati Asam Pedas Melaka nanti,'' katanya yang bersyukur dapat bersama-sama 131 rakan pelajar lain pulang ke tanah air.
Katrina Nur Maria dan 131 pelajar pelbagai universiti dari Rusia selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, KLIA, pada pukul 9:40 pagi selepas berlepas dari Moscow pada 3 petang semalam waktu tempatan.
Kepulangan mereka menggunakan sewaan Egypt Air itu dimudah cara Kedutaan Besar di Moscow, Rusia dan Lavender Travel & Tours dengan kos pembiayaan tiket ditanggung sepenuhnya penumpang.
Kesemua mereka, sejurus tiba di KLIA, terlebih dahulu menjalani ujian pemeriksaan kesihatan COVID-19.
Mereka yang diuji negatif dibenarkan pulang untuk kuarantin di rumah selama 14 hari sehingga 1 Ogos, iaitu hari kedua sambutan hari raya Aidiladha.
Manakala kes positif pula dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan susulan.
Sementara itu, pelajar perubatan Volgograd State Medical Universiti, Ahmad Ashraff Haiqal Ahmad Zakki, 20, pula berkata, dia bersyukur dapat pulang dan berterima kasih kepada pihak kedutaan Malaysia, Lavender Travel & Tours serta kerajaan Rusia yang menguruskan penerbangan pulang rakyat Malaysia pada Ahad.
"Semua ini tidak akan dapat direalisasikan kalau bukan kerana kerjasama baik daripada kedutaan, pihak syarikat pelancongan dan persatuan pelajar universiti di Rusia. Lebih penting, ia sebenarnya bermula dengan keinginan kecil, iaitu mengidam makanan Malaysia yang membawa kepada kejayaan misi lebih besar, tentunya penghantaran pulang ratusan warga Malaysia,'' kata Ahmad Ashraff Haiqal yang tidak sabar untuk menikmati Teh Tarik berbuih dan Nasi Kerabu.
Dalam pada itu, pengendali Lavender Travel and Tours, Norlela Saat pula berkata, banyak cabarannya dalam menguruskan penghantaran pulang warga Malaysia dari Rusia.
Antaranya menurut Norlela, keputusan tidak tetap pihak berkuasa Rusia dalam memberi kebenaran mendarat di mana-mana lapangan terbang mereka.
"Ini antara kesukaran dialami di mana pada satu tahap, beberapa jam pesawat sepatutnya dibenarkan terbang, tidak mendapat hak untuk berbuat demikian atas alasan tidak dinyatakan.
"Begitu juga, kami berdepan masalah bilangan penumpang yang benar-benar pasti untuk pulang. Ini kerana mereka yang mahu pulang perlukan tarikh khusus, sedangkan sebarang keputusan kami bergantung kepada peraturan diputuskan pihak di negara tertentu, dalam hal ini, Rusia, " kata beliau.
Bagaimanapun, Norela melahirkan rasa lega dan bersyukur kerana kedutaan Malaysia di Moscow banyak menolong memudahcara misi membawa pulang rakyat Malaysia dari Rusia.
Ini adalah misi ketujuh penghantaran pulang warga Malaysia dari luar negara yang diuruskan Lavender Travel & Tours.
Daripada 887 warga Malaysia yang berada di Rusia, lebih 700 adalah pelajar yang menuntut pelbagai jurusan di pelbagai universiti diiktiraf di Rusia.
Sehingga Ahad, Rusia mencatatkan 765,437 kes positif COVID-19 sekaligus menjadi negara keempat catat kes tertinggi di dunia selepas Amerika Syarikat, Brazil dan India.
#asam pedas
#COVID-19
#Halal
#Hospital
#kes positif
#KLIA
#koronavirus
#kuarantin
#Moscow
#pelajar
#perubatan
#pesawat
#rakyat Malaysia
#rumah
#Rusia