Tidak dibebani isu demonstrasi dan konflik, faktor penyumbang Malaysia negara ke-18 paling aman

Rahimah Abdullah
September 28, 2022 17:26 MYT
Hubungan diplomatik yang terjalin dengan semua negara memastikan Malaysia berada di ranking keamanan yang baik di peringkat antarabangsa. - Gambaer fail/Bernama
KUALA LUMPUR : Tidak dibebani dengan isu demonstrasi yang mengganggu-gugat kestabilan dan keselamatan penduduk adalah antara faktor Malaysia disenarai negara ke-18 paling aman di dunia.
Dalam masa sama, Ketua Kluster Tadbir Urus dan Integriti Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Ahmad Martadha Mohamed berkata, hubungan diplomatik yang terjalin dengan semua negara memastikan Malaysia berada di ranking keamanan yang baik di peringkat antarabangsa.
"Ranking itu juga adalah berdasarkan kepada konflik sama ada yang berlaku dalam negara atau luar negara. Malaysia ita negara yang sentiasa berpegang kepada ideologi, kita mengadakan hubungan diplomatik dengan semua negara tidak kira ideologi negara tersebut.
"Ini menyebabkan kita tidak pernah terlibat dengan apa jua konflik dengan negara luar seperti mana yang berlaku di negara Timur Tengah (Asia Barat), Afrika dan Amerika Latin. Ini faktor yang cukup baik kerana secara tidak langsung ia memberikan satu kebaikan kepada negara untuk jadi negara aman damai. Bagi saya dua faktor ini penting," katanya kepada Astro AWANI pada Rabu.
BACA: Indeks GPI: Malaysia ke-18 negara teraman, ke-4 di kalangan negara Asia Pasifik
Malah katanya, dari sudut ketenteraan, Malaysia dilihat tidak meluaskan penguasaan ketenteraannya sehingga ke negara-negara lain.
"Dalam konteks ini, kenapa Malaysia melonjak naik dari segi keamanan kerana indikator itulah yang sangat memberi ruang dan peluang kepada negara kita, antara negara yang aman damai dalam dunia ini," tambahnya.
Kata beliau lagi, kecenderungan pelancong untuk datang ke mana-mana negara juga bergantung kepada tahap keamanan sesebuah negara itu.
"Sebab itu Malaysia menjadi tumpuan pelancong kerana kita tahu negara seperti Asia Barat sentiasa bergolak dan di Amerika pula satu ketika tidak aman sebab ada isu pencerobohan, tembakan dan sebagainya sekali gus menyebabkan pelancongnya juga keluar untuk mencari destinasi baharu.
"Kita juga lihat bagaimana layanan negara barat terhadap pelancong Arab hingga mereka tidak suka pergi negara seumpama itu.
"Ia secara tidak langsung, Malaysia menjadi tumpuan pelancong sebab mereka rasa selamat berada di negara ini," ujarnya.
Selain itu, ranking yang baik itu juga mampu menarik pelaburan asing ke dalam negara berikutan pelabur asing mahukan negara yang mampu memberikan pulangan keuntungan yang baik.
"Sebab itu mana-mana negara bergolak dan tidak stabil, pelabur asing tidak akan datang dan faktor penting ialah indeks keamanan yang menjadi penanda aras kepada mereka," ujar beliau.
#Ahmad Martadha Mohamed #Indeks Keamanan #Malaysia #GPI
;