Tidak dapat balik kampung, kembar sambut raya berdua

Dewi Nur Harasha Alias
Mei 13, 2021 16:22 MYT
Mohd Hilmi Mahmud (kiri) dan Mohd Zaidi Mahmud akur tidak dapat balik Alor Setar, Kedah untuk meraikan lebaran bersama keluarga. - Gambar Astro AWANI
GEORGE TOWN: Saban tahun pulang menyambut 1 Syawal di kampung halaman di kampung Kuala Kangkong di Alor Setar, Kedah bersama keluarga merupakan kemestian buat pasangan kembar dari Pulau Pinang ini.
Bagaimanapun, pada sambutan Aidilfitri kali ini, Mohd Hilmi Mahmud, 35, dan pasangan kembarnya, Mohd Zaidi Mahmud akur apabila terpaksa meraikan lebaran berdua sahaja di rumah mereka di Taman Bukit Jambul, di sini.
Meskipun sayu kerana tidak dapat pulang ke kampung meraikan Syawal bersama adik-beradik lain, namun, Mohd Hilmi yang juga pensyarah muda di sebuah kolej swasta di Pulau Pinang bersyukur apabila saudara kembarnya menemani.
“Pelbagai perasaan bercampur sebab kami sambut raya berdua di Pulau Pinang padahal sebelum ini kami ada rancangan balik kampung, tapi terpaksa batal,” kata Mohd Hilmi.
Mohd Hilmi berkata, bagi menimbulkan suasana berhari raya, dia dan kembarnya membuat persiapan dengan menyediakan biskut raya.
“Tahun lepas kami buat persiapan dengan adik-beradik lain, tapi tahun ini berdua saja, buat persiapan serba sedikit, kuih raya pun buat sendiri.
“Bila berdua ini rasa sedih terasa juga sebab tak dapat balik ziarah kubur arwah ayah… rasa rindu,” ujar Mohd Hilmi lagi.
Sementara itu, Mohd Zaidi yang juga pensyarah berkata, raya kali ini perlu disambut dalam suasana norma baharu selain perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian wabak COVID-19.
Justeru, katanya, bagi mengubat kerinduan bersama ahli keluarga dan sahabat, dia dan adik kembarnya itu akan membuat panggilan video sebagai pengganti diri bagi mengeratkan hubungan silaturrahim.
PKP 3. 0 dilaksanakan di seluruh negara berkuatkuasa 12 Mei hingga 7 Jun ini susulan peningkatan kes COVID-19.
Serentak itu semua aktiviti merentas negeri dan daerah juga tidak dibenarkan.
#pasangan kembar #Hari Raya Aidilfitri #Taman Bukit Jambul #George Town #pulau pinang
;