Tidak daftar vaksinasi, ke mana hilangnya 15,457 individu di Perlis?
Salim Aziz
September 19, 2021 16:18 MYT
September 19, 2021 16:18 MYT
KANGAR: Kerajaan negeri Perlis sedang berhubung rapat dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) bagi mengenal pasti jumlah penduduknya yang mendapat suntikan vaksin COVID-19 di luar negeri itu.
Perkara itu diberi perhatian berikutan lebih 15,000 penduduk dan individu yang menetap di negeri itu, masih tidak melakukan pendaftaran vaksinasi, sehingga kini.
Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Azman Mohd Yusof, daripada jumlah 15,457 individu itu, 12, 684 individu adalah yang berusia 18 tahun ke atas manakala 2, 773 individu lagi adalah dari populasi warga emas.
Pecahan dan jumlah populasi itu dihitung berdasarkan dari bancian penduduk yang dilakukan pada 2010.
“Kita tak tahu juga ada dalam kalangan mereka ini berkemungkinan telah mendapat vaksin di negeri lain, sebab dalam MySejahtera kita tidak pasti berapa ramai orang yang menetap di Perlis tapi mengambil vaksin di negeri lain.
"Yang itu saya tidak pasti berapa peratus. Sebab kita sedang mendapatkan data dari pihak MOSTI. Apabila kita dapat, kita akan maklumkan," ujar Azman.
Sehubungan itu, beliau turut meminta agar semua pihak untuk akur dengan saranan kerajaan bagi membantu negara membentuk imuniti kelompok dengan lebih cepat.
Beliau ditemui di Kangar Street Art, dalam lawatannya untuk meninjau persediaan beberapa tempat pelancongan menarik di Perlis.
Setakat Jumaat, berdasarkan keseluruhan populasi 254,900 orang di Perlis, sejumlah 173,166 individu telah menerima dos pertama vaksin manakala 149, 699 orang lengkap dua dos vaksin.