Tidak cukup dalami ilmu agama punca rasuah berleluasa - Hussamuddin
Faris Danial Razi
Januari 26, 2021 21:31 MYT
Januari 26, 2021 21:31 MYT
KUALA LUMPUR: Masih ramai orang Islam tidak memahami konteks ajaran agama Islam sehingga sanggup melibatkan diri dengan gejala rasuah.
Pengerusi Kumpulan Karangkraf, Datuk Hussamuddin Yaacub berpandangan, umat Islam perlu cuba memahami kandungan al-Quran bagi memahami kemurkaan Allah mengenai amalan memberi dan menerima rasuah.
“Kebanyakan orang Islam ini mereka lahir sebagai seorang Islam tapi mereka tidak faham Islam, kalau dia betul-betul (faham) dan cara terbaik untuk faham Islam adalah membaca panduan yang diberikan dalam al-Quran.
“Jadi maknanya, sekarang, kita orang Islam ini, (kita rasa) cara kita beragama itu dengan cara kita baca al-Quran sahaja sudah cukup.
“Sedangkan apa kita perlu adalah kita mesti memahami al-Quran, apa mesejnya, jadi maknanya selama ini, saya rasa cara kita mengajar al-Quran kepada anak-anak Islam itu harus dilihat semula kerana mesej itu tidak sampai.
“Jadi sepatutnya kita baca al-Quran, kita faham, kita hayati, kita akan amalkan, tetapi jika kita baca kita tidak faham, itu sebab kita tidak amalkannya,” jelas beliau.
Tidak mendalami ilmu agama, punca rasuah berleluasa
Beliau berkata demikian dalam rancangan bual bicara Perspektif, bagi membincangkan kempen atau gerakan yang dinamakan Sinar Untuk Malaysia #KarakterNilaiMoralBangsa bagi membantu mengekang gejala rasuah yang semakin berleluasa di negara ini.
Tambahnya, perang terhadap rasuah ini bukan hanya melibatkan masyarakat Islam sahaja sebaliknya semua pihak.
"Kita ada Rukun Negara, Kepercayaan Kepada Tuhan, Tuhan itu penyayang, kita perlu takut kepada Tuhan. Tetapi kenapa kita masih 'collapse' (tewas dengan rasuah?)
"Jadi maknanya, inilah akar umbinya, akar umbinya ada masalah, sepanjang 60 tahun tidak menanam nilai kemanusiaan.
"Kalaulah kita betul beragama, kita akan menjadi seorang manusia yang betul-betul bertanggungjawab," pesannya lagi.
Patuh Rukun Negara, tolak rasuah - Hussamuddin Yaacub
Sebagai rekod, Transparency International (TI) akan mengumumkan laporan tahunan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) pada pukul 12.45 tengah hari pada 28 Januari ini menerusi satu sidang video.
Pada tahun 2019, Malaysia melakar pencapaian memberangsangkan apabila berjaya memperbaiki reputasi dalam CPI kepada tangga ke-51 daripada 180 negara berbanding kedudukan ke-61, pada tahun 2018.